Hujan Rahmat Di Jasin Buat Afif
Litar yang basah dan licin ternyata telah memberi kelebihan buat pelumba dari negeri Terengganu Darul Iman, Ahmad Afif Amran untuk mencipta kemenangan keduanya dalam perlumbaan kelas prima yang berlangsung dengan cukup sengit. Bermula dengan sempurna adalah keutamaan Afif untuk berada di hadapan tetapi pada mulanya dia menghadapi kesukaran kerana terpaksa bertarung kuat untuk meloloskan diri daripada para pelumba hebat seperti Kasma Daniel, Hafiz Nor Azman, Ramdan Rosli dan Md Hafiza Rofa.
Seperti biasa, Kasma memang cukup cepat mendapat ruang untuk cuba melarikan diri tetapi segera dikejar oleh Afif, Hafiz dan Hafiza. Selepas pusingan kedua tempohari, kita dapat melihat kepantasan jentera Kasma kini sudah mampu diekori oleh para pelumba lain – tidak lagi terlalu dominan seperti perlumbaan-perlumbaan sebelum ini. Afif yang mendapat rentak sempurna berjaya mengekori Kasma dari belakang dan bermulalah episod serang menyerang di antara kedua-dua pelumba ini. Aksi Afif dan Kasma semakin lama semakin rancak dengan beberapa siri serangan yang cukup mantap.
Walaupun mengerahkan seluruh tenaga dan kemahirannya meratah 10 buah selekoh, Kasma tetap gagal untuk menjarakkan diri dengan Afif yang terus kemas mengekori dari belakang. Afif menunggu hingga di saat akhir untuk memintas dan berlaku sedikit sentuhan di antara kedua-dua jentera yang menyebabkan Kasma terbabas. Walaupun begitu, kepantasan Afif dan Kasma telah membuka jarak yang cukup jauh daripada para pelumba di belakang sehinggakan Kasma masih mampu bangun semula dan menyambung perlumbaan untuk tamat di tempat kedua. Hafiza berjaya mendapatkan rentak terbaiknya untuk menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 16'35.470s.
“Saya tidak terburu-buru untuk memintas Kasma. Saya hanya cuba untuk mengekori dan melihat kemampuan jentera saya disamping cuba memberikan tekanan. Sebaik masuk ke lap terakhir, saya mencari ruang untuk memintas dan gembira kerana ianya berjaya. Terima kasih kepada seluruh pasukan yang bekerja keras pada pusingan ini, “ kata juara litar Jasin, Ahmad Afif Amran.
CP115: Sememangnya kemenangan ini sangat dikehendaki oleh pelumba pasukan YY Pang, Tengku Amirul bagi menyemarakkan semangatnya dalam pencarian takhta juara keseluruhan CP115 musim 2018 ini. Litar sepanjang 1.114 kilometer yang basah dan licin pada sesi shoot out ternyata agak menyukarkan para pelumba untuk mencatatkan masa terbaik, memang ramai yang terbabas. Kemahiran (skill) yang tinggi adalah faktor utama untuk memasuki selekoh-selekoh dengan cepat dan selamat.
Walaupun cuaca kembali baik pada perlumbaan akhir di sebelah petang, masih terdapat beberapa tempat di litar yang agak basah. Namun begitu, bagi beberapa pelumba di hadapan seperti Tengku Amirul, Syafiq Ezzariq, Hafizuddin Azahar dan Zikri Ahmad, mereka sanggup menghadapi risiko asalkan dapat terus berada di dalam kelompok hadapan untuk mencapai kemenangan.
Tengku yang memiliki pengalaman luas berjaya mendapat rentak untuk memimpin dan mula menjarakkan diri sedikit demi sedikit. Selepas mengetahui jaraknya dengan pelumba kedua sejauh lima saat, Tengku hanya mengekalkan posisi dengan selamat agar segala yang dikejarkan tidak terlepas begitu sahaja. Dengan catatan masa 13'16.134s, Tengku Amirul meraih kemenangan hatriknya musim ini dengan penuh bangga.
Tempat kedua dimenangi oleh pelumba tuan rumah dan pelumba persendirian, Md Hafizuddin Azahar yang membuktikan keupayaannya mengatasi para pelumba dari pasukan-pasukan terkenal. Shafiq Ezzariq dan Zikri tidak menghampakan pasukan masing-masing apabila kedua-duanya meraih tempat ketiga dan keempat.
Wira: Ini mungkin kenangan manis buat Md Izam Ikmal dari Kuala Lumpur yang akhirnya berjaya meraih kemenangan pertamanya pada musim ini dan menaikkan nama pasukan SIC Junior Team AFB Tech Racing. Ternyata kemenangan ini adalah satu tugas yang sukar buat Izam kerana dia terpaksa berhempas pulas sehabis-habisnya memandangkan tentangan dari Fadlyshah dan Danial cukup sengit sejak di awal perlumbaan.
Litar Jasin yang hampir kering sepenuhnya memberi peluang buat semua pelumba memecut sehabis-habisnya. Bagi yang lebih rakus mencari kemenangan, serangan di selekoh adalah kunci untuk ke hadapan dan itulah yang dilakukan oleh Izam untuk menewaskan Fadlyshah dengan catatan masa 10’56.281 hanya 0.622 di hadapan. Selepas dua pusingan bertarung, ia adalah detik manis buat Izam untuk menerima kibaran bendera penamat sebagai Sang Juara dan membakar semangat untuk terus berjaya.
Bagi Danial pula, kedudukan di tempat ketiga masih amat penting untuk memimpin pungutan keseluruhan kelas ini dengan 66 mata manakala Fadlyshah di tangga kedua dengan 49 mata.
Yamaha Petronas Super Series: Pelumba dari Kuala Lumpur, Haziq Rosmaza terus mengungguli persaingan kelas ini dengan memungut sebanyak 70 mata selepas tiga pusingan berlalu iaitu dua kali di tempat pertama dan sekali di tempat kedua. Pada perlumbaan di Melaka, Haziq bermula di petak kedua tetapi dengan kawalan jentera yang kemas, dia cepat mengatasi para pencabarnya untuk memimpin. Walaupun begitu, kedudukan segera dicabar oleh ‘jiran’ iaitu dari Selangor yang turut mempamerkan tunggangan yang baik.
Kedua-dua mereka saling cuba mengacah satu sama lain tetapi akhirnya kemenangan berpihak kepada Haziq yang terlebih dahulu melintasi garisan penamat, hanya 0.45 saat di hadapan. Walaupun di tempat kedua, Muazim Shah cukup gembira kerana ini merupakan kejayaan pertamanya selepas dua kali gagal menamatkan perlumbaan. Tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Nor Hakim dan wakil Johor, Md Aliff Danial di tempat keempat.
Cabaran Honda Wave Alpha: Persaingan antara dua pelumba teratas dalam carta keseluruhan iaitu di antara Syahmi dan Aeiman terus sengit selepas kedua-duanya berjaya menamatkan persaingan pusingan ketiga di atas podium. Seorang lagi pelumba, Afizal Supaat turut cemerlang untuk mendapatkan podium pertamanya musim ini sebagai pemenang tempat kedua.
Walaupun memacu jentera yang berspesifikasi yang sama, sangat jelas dilihat kemahiran dan semangat untuk menjadi pelumba nombor satu merupakan ‘tonik’ penting untuk mencapai kejayaan. Dengan kemenangan di Jasin, Syahmi kini berada di tangga pertama dengan 58 mata diikuti Aeiman Hafidz 52 mata dan Izham Hanafi di tempat keempat dengan 42 mata.
Cabaran Yamaha NVX155: Zairul Kazzreen, Adib Kharith dan Haziq Hanafi merupakan tiga pelumba berbakat yang kini sedang bersaing hebat untuk membuktikan siapa paling hebat dalam mengendalikan jentera automatik dari Yamaha ini. Ketiga-tiga pelumba muda ini masing-masing hanya dibezakan di antara tiga dan empat mata sahaja dan sudah pasti peluang masih terbuka dengan luas.
Gagal di Serdang menjadi pembakar semangatnya untuk cemerlang di Jasin dengan kejayaan cukup manis. Tempat kedua dimiliki oleh Danish Fitri manakala Zairul dan Adib masing-masing menamatkan cabaran di kedudukan ketiga dan keempat.
Pusingan keempat berlangsung di Litar Temerloh pada 18 Ogos lalu dan para pelumba akan berpusat di Teluk Intan pula pada awal September ini. Jangan lepaskan peluang menyokong pelumba dan pasukan kegemaran anda. RR
Popular