Rea Sapu Bersih Litar Misano
Sebelum cuti dua bulan sempena musim panas tiba... Litar Misano ternyata menjadi lokasi terbaik buat para pelumba dan pasukan bersaing untuk mempamerkan kemantapan serta kemampuan masing-masing. Ini jelas dilihat sejak di sesi latihan apabila para pelumba sudah mula mencatatkan masa-masa yang agak mengagumkan.
Selain ingin meraih podium tertinggi, para pelumba turut mempunyai keinginan untuk cuba menewaskan jagoan Kawasaki iaitu Jonathan Rea yang kini bagaikan 'kebal' daripada segala serangan. Apa pun, kelicinan pelumba tersebut (Rea) dalam meratah setiap selekoh litar Misano yang cukup teknikal itu menambah 'derita' apabila tetap berjaya menaiki podium tertinggi dalam kedua-dua perlumbaan dengan tunggangan yang cukup cemerlang.
Permulaan yang tepat adalah kunci utamanya dalam saingan awal dan berjaya membuka jarak yang selesa dengan pantas. Rea juga merupakan satu-satunya pelumba yang berjaya mencatatkan masa 1'34 saat seawal lap pertama. Persaingan di belakangnya ternyata lebih mengujakan para penonton. Sykes yang pada mulanya agak selesa di belakang Rea, tidak dapat 'bernafas' apabila diberi tekanan hebat oleh Eugene Laverty dan Chaz Davies pada lap ketiga. Sykes kemudiannya terpaksa melepaskan tempatnya tidak lama kemudian.
Davies dan Laverty saling menundukkan lawan masing-masing tetapi kesilapan Laverty mengawal jentera Aprilianya pada lap ke-16 membolehkan Davies memintas. Walaupun percubaan demi percubaan telah dilakukan oleh Laverty, dia akhirnya terpaksa berpuas hati apabila Davies terlebih dahulu melintasi garisan penamat sebagai pemenang tempat kedua.
Dengan perbezaan masa sejauh 2.7 saat di hadapan, Rea sekali lagi dikibarkan bendera penamat sebagai juara dengan penuh kegemilangan. Pelumba Yamaha, M.Van Der Mark pula berjaya mengejar dan memintas Sykes untuk menamatkan cabaran awal di tempat kempat.
“Ia sangat memuaskan hati. Dengan jentera yang telah disediakan cukup rapi dan hebat, saya dapat memecut ke tahap maksimum dan benar-benar menikmati perlumbaan kali ini. Saya keluar selekoh terakhir sambil berwheelie dan saya amat berterima kasih buat para mekanik,” komen Sang Juara, Jonathan Rea.
Situasi lebih mengujakan berlaku dalam Perlumbaan 2. Xavi Fores yang bermula di petak ketiga berjaya mendapat holeshot untuk memimpin perlumbaan. Kawalan jentera yang kemas membolehkan Fores mengenepikan setiap serangan tetapi sayangnya jentera Xavi dilanda masalah pada lap ketiga yang telah 'meranapkan' segala harapan pelumba Sepanyol itu berada di podium. Pertarungan di antara M. Van Der Mark, Melandri, Sykes, Davies dan Lowes semakin mendebarkan. Serangan yang masing-masing lakukan bagaikan tiada belas kasihan walaupun ada ketikanya terhadap rakan sepasukan.
Dari kedudukan keempat, Rea memintas Sykes dan bermulalah episod potong memotong di antara Rea dan Melandri seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Ini memberi peluang buat M. Van Der Mark untuk membuka jarak. Selepas dua lap bertarung hebat, Rea akhirnya mengerahkan jentera Kawasaki ZX-10Rnya ke tahap maksimum untuk memintas Melandri dan mengejar M.Van Der Mark di hadapan.
Ternyata bukan mudah untuk menewaskan pelumba Yamaha itu dan Rea terpaksa menunggang sehingga tiga lap terakhir sebelum berjaya melakukannya untuk menyapu bersih kedua-dua perlumbaan sebagai juara. Walaupun Marco Melandri perkemaskan rentaknya di sektor akhir untuk mencabar M. Van Der Mark, dia terpaksa akur di tempat ketiga. Tahniah buat ketiga-tiga pelumba yang berjaya mempamerkan kualiti tunggangan sangat mengagumkan!
“Selepas mendapati Xavi mungkin menghadapi masalah dengan jenteranya, saya memintas dan cuba untuk mengekalkan rentak dengan baik. Saya rasakan jentera Yamaha ini juga lebih baik berbanding perlumbaan sebelum ini dan berjaya membuka jarak sedikit ketika Johnny dan Melandri sedang bertarung. Sebaik sahaja Johnny datang dekat, saya cuba untuk mengemaskan tunggangan tetapi dia lebih pantas. Namun begitu, saya amat gembira dengan keputusan ini kerana meraih mata penting untuk kejuaraan keseluruhan,” kata pelumba pasukan Pata Yamaha Official WorldSBK, M. Van Der Mark.
WorldSSP: Kemenangan pertama pelumba GRT Yamaha Official Team, Federico Caricasulo kali ini pastinya lebih istimewa apabila turut diraikan oleh para penyokong tuan rumah yang membanjiri Litar Misano yang sepanjang 4.22km itu. Inilah kali pertama sejak 12 tahun yang lalu pelumba Itali muncul juara di litar tersebut dalam kelas WorldSSP. Kegembiraan pada hari itu berganda apabila seorang lagi pelumba WorldSSP dari Itali, Raffaele De Rosa yang menunggang jentera MV Agusta turut meraih podium di tempat kedua. Tempat ketiga diraih oleh Sandro Cortese yang turut mempamerkan semangat juang yang tinggi.
Perlumbaan akhir pada mulanya diungguli oleh Jules Cluzel yang bermula dengan sempurna. Walaupun berusaha gigih untuk ke depan, kemantapan tunggangan Caricasulo dan De Rosa di selekoh sukar dibendung. Ini mengakibatkan Cluzel akhirnya dipintas oleh kedua-dua pelumba tersebut walaupun telah cuba menutup segala ruang yang ada. Cortese yang berada di tempat keempat pada awalnya turut mengikuti jejak Caricasulo dan De Rosa untuk memintas Cluzel bagi meraih podium di tempat ketiga.
Sandro Cortese kini di tangga pertama keseluruhan dengan 138 mata diikuti oleh Jules Cluzel (133 mata), Randy Krummenacher ketiga (16 mata) dan juara Litar Misano, Federico Caricasulo kini di tangga kelima dengan 104 mata.
WorldSSP 300: Ini pastinya kenangan paling indah buat Manuel Bastianelli, Mika Perez dan Luca Bernardi selepas ketiga-tiga pelumba muda tersebut berjaya menewaskan para pelumba lain dalam satu pertarungan yang penuh dramatik. Bastianelli merupakan pelumba wildcard dalam persaingan kali ini tetapi semangat juangnya membuak-buak apabila dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri. Mika Perez dan Gonzalez juga menikmati pengalaman yang hampir sama selepas tidak berupaya untuk mencapai impian ke podium sejak bermulanya musim ini.
Peluang untuk menang ternyata sangat sukar kerana terdapat tujuh orang pelumba yang bersaing sangat rapat sejak perlumbaan dimulakan. Mereka ialah Bernardi, Grunwald, Herrera, Hendra Pratama, Bastianelli, Perez dan Gonzalez. Hanya peluang yang sangat kecil diperlukan oleh tiga pelumba di hadapan untuk membuat pintasan seterusnya menerima kibaran bendera penamat. Jika dilihat pada catatan masa, ketujuh-tujuh pelumba ini hanya dibezakan masa sekitar 0.11 hingga 0.93 saat sahaja. Begitu dekat sekali!!
Kini semuanya akan pulang ke kampung halaman, berehat dan bercuti. Perlumbaan pusingan ke-10 akan kembali menggegarkan litar Autodromo, Portugal pada 14 September nanti. Kita akan lihat sejauh mana peningkatan prestasi berjaya dilakukan oleh setiap pasukan dalam mengharungi 'separuh masa kedua' nanti. RR
Popular