Persaingan Penuh Dramatik
Walaupun empat pusingan baru berlalu, persaingan kelas prima ini ternyata semakin sengit dan semakin mendebarkan. Selepas Qatar, Argentina, Amerika dan Jerez, kita telah melihat empat pelumba mendapat posisi pole dan tiga orang pelumba telah berjaya menaiki takhta tertinggi iaitu Andrea Dovizioso, Carl Crutchlow dan sudah pasti juara bertahan, Marc Marquez.
Selepas menang litar Amerika, pasukan Repsol Honda ternyata bersedia untuk mengulangi kejayaan mereka dengan persediaan jentera yang cukup teliti. Hasil daripada kerja keras tersebut, dua pelumba mereka iaitu Dani Pedrosa dan Marc Marquez berjaya meletakkan diri di antara lima pelumba terpantas. Pada perlumbaan akhir di Jerez, barisan hadapan diungguli oleh pelumba dari Britain, Crutchlow diikuti oleh Dani Pedrosa dan Johann Zarco. Pelumba Ducati, Jorge Lorenzo pula berjaya mendapat rentaknya kembali untuk merebut petak keempat.
Lorenzo yang bermula dengan sempurna berjaya memintas tiga pelumba paling hadapan untuk memimpin perlumbaan. Pedrosa, Marquez dan Crutchlow tidak merelakan diri mereka ketinggalan lalu terus mengejar dengan pantas. Crutchlow terbabas ketika cuba mengatasi lawan dan posisinya ketika itu diisi pula oleh Rins yang kemudiannya diekori rapat oleh Zarco, Iannone dan Dovizioso.
Dovizioso mula mengemaskan tunggangan untuk memintas seorang demi seorang. Pada masa yang sama, Marquez sudah berjaya memintas untuk mendahului perlumbaan. Pada lap ke-10, kelompok hadapan terdiri daripada dua pelumba Honda dan dua pelumba Ducati. Persaingan merebut tempat kedua di antara Dovizioso, Lorenzo dan Pedrosa cukup sengit sehinggalah berlakunya perlanggaran di antara mereka bertiga ketika perlumbaan berbaki hanya lapan lap sahaja lagi. Sayang buat pasukan Ducati apabila kedua-dua pelumba mereka terpaksa bersara awal termasuk Dani Pedrosa.
Kemalangan tersebut memberi peluang buat pelumba di belakang iaitu Zarco dan Iannone yang berjaya menaiki podium di tempat kedua dan ketiga. Marquez mengulangi kejayaannya di Amerika dengan muncul juara di 'laman' sendiri dengan tunggangan yang sempurna.
“Untuk menang di hadapan penyokong hebat ini adalah suatu yang mengagumkan. Saya amat gembira dengan kemenangan ini kerana jujurnya agak sukar untuk menempa kejayaan di sini. Kunci utama kemenangan ini ialah pemilihan tayar belakang dan selepas sesi pemanas, kami memilih untuk gunakan tayar jenis medium. Kami akan terus cuba untuk dapat keputusan yang cemerlang dan perlu terus fokus kerana musim masih panjang,” komen Marquez.
Dua jagoan Yamaha iaitu Valentino Rossi dan Maverick Vinales menamatkan cabaran kali ini masing-masing di tempat kelima dan ketujuh. Pelumba negara, Hafizh Syahrin yang masih sakit berikutan kemalangan yang dialaminya sewaktu menunggang basikal tetap berjaya menamatkan cabaran di tempat ke-16. Ternyata semangat juang pelumba negara ini mendapat pujian daripada seluruh pasukan Yamaha Tech3.
“Adakalanya kita memerlukan nasib yang baik untuk menang dan ia berlaku pada hari ini. Walaupun keupayaan jentera cukup bagus pada awalnya, Pedrosa tetap mampu memecut lebih laju berbanding saya. Ia memang sukar tetapi saya terus mengekalkan kedudukan. Ketika melihat perlanggaran ketiga-tiga pelumba di depan, saya bagaikan tidak percaya. Ini benar-benar adalah peluang dan saya perlu tenang membawa pulang 20 mata penting untuk kejuaraan musim ini,” kata Johann Zarco.
Moto2: Lorenzo Baldassarri kini semakin menghampiri pendahulu carta, Fancesco Bagnaia dalam saingan Moto2 selepas menjuarai perlumbaan pusingan empat pada awal Mei lalu. Walaupun kemenangan tersebut tidak sukar untuk diperolehi, semangat kental Baldassarri ternyata wajar diberi pujian. Dia dan Miguel Oliveira berentap cukup hebat dari awal hinggalah pada beberapa lap terakhir yang mempertontonkan Baldassarri berjaya membuat sedikit jarak untuk tiba dua saat lebih pantas.
Bagnaia berjaya tamat di tempat ketiga untuk menambah 16 mata lagi kepada 73 mata keseluruhan. Baldassarri kini di tangga kedua dengan 64 mata hanya satu mata di depan Oliveira. Pelumba negara, Khairul Idham Pawi dari Honda Team Asia menamatkan cabarannya kali ini di tempat ke-18 manakala Zulfahmi Khairuddin terpaksa bersara lebih awal kerana terbabas pada lap ke-14.
Selepas empat pusingan beraksi dalam kategori ini, Zulfahmi dari pasukan SIC Racing telah mengumumkan tidak lagi meneruskan saingannya dan keputusan tersebut mendapat sokongan daripada pasukannya. Walaupun Zulfahmi telah menamatkan kontrak bersama pasukan SIC Racing, dia akan terus berkhidmat sebagai mentor dalam program pembangunan para pelumba muda SIC, “Impian ke MotoGP”.
Moto3: Adam menyatakan dia agak kecewa selepas gagal memungut sebarang mata pada perlumbaan di litar Jerez. “Saya tidak dapat untuk menempatkan diri di hadapan. Semakin lama, saya semakin ketinggalan. Menjelang penghujung saingan, beberapa pelumba terbabas dan nampak peluang untuk dapatkan mata tetapi saya tidak begitu kuat. Saya perlu kembali bersemangat pada perlumbaan seterusnya kerana kami agak jauh dari sasaran. Saya perlu bangkit dengan segera,” kata Adam Norrodin penuh semangat.
Dalam kategori ini, pelumba dari Jerman iaitu Philipp Oettl meraih tempat pertama diikuti Marco Bezzecchi di tempat kedua dengan perbezaan masa hanya 0.059 saat. Tempat ketiga dimenangi oleh pelumba tuan rumah, Marcos Ramirez yang menerima kibaran bendera penamat 3 saat kemudian.
Pusingan kelima akan berlangsung di litar Le Mans, Perancis pada 20 Mei diikuti Mugello pada 3 Jun dan di litar Catalunya pada 17hb Jun nanti. RR
Popular