Pertarungan Rea & Davies Berlanjutan
Perlumbaan pusingan ketiga yang berlangsung di Litar Aragon sekali lagi mempamerkan perebutan hebat di antara pelumba Kawasaki, Jonathan Rea dan Chaz Davies dari pasukan Aruba.it Racing Ducati. Kedua-dua pelumba ini ternyata tidak mahu mengalah dan semestinya ingin membuktikan siapa lebih hebat dan jentera mana yang lebih berkuasa.
Perlumbaan 1 terpaksa dijalankan sebanyak dua kali berikutan berlakunya perlanggaran yang agak serius di antara Leon Camier, Jordi Torres dan Lorenzo Savadori. Cammier terus dibawa ke pusat perubatan untuk diperiksa manakala dua lagi pelumba dilihat mampu untuk berdiri dan Savadori dapat untuk berlumba semula.
Selepas perlumbaan dimulakan sekali lagi, Rea memecut dengan baik untuk membawa jentera ZX-10Rnya di depan. Tidak lama kemudian, juara bertahan itu diberi tekanan hebat oleh Xavi Fores. Fores berjaya memintas ketika perlumbaan berbaki sembilan lap dan menerima tepukan gemuruh daripada para penonton tempatan. Rea kembali ke hadapan beberapa lap kemudian dan terus menerima kibaran bendera penamat sekali lagi di tempat pertama.
Selepas gagal untuk mengejar pelumba di hadapannya, Fores berhasrat untuk mengekalkan kedudukan di tempat kedua tetapi dia pula diserang hebat oleh pelumba Ducati, Chaz Davies yang akhirnya ternyata lebih pantas untuk merebut tempat kedua. Tempat keempat dimenangi oleh Marco Melandri manakala jagoan Yamaha, M. Van Der Mark di tempat kelima.
“Ia adalah perlumbaan yang cukup baik dan saya ingin berterima kasih buat rakanrakan sepasukan atas jentera yang baik ini. Kami mempunyai sedikit masalah pada sesi ujian masa tetapi hari ni, suhu di litar sangat baik dan telah membantu tayar mencengkam dengan cemerlang,” kata Jonathan Rea.
Tiada yang lebih mengujakan setiap kali melihat jentera merah dan hijau saling berkejaran dengan begitu rapat. Itu hakikatnya yang dapat dinikmati oleh ribuan para penonton di Litar Aragon pada Perlumbaan 2 yang berlangsung pada hari kedua. Rea yang bermula cemerlang tetapi bagaikan melekat dengan para pelumba Ducati di depan iaitu Marco Melandri dan Xavi Fores. Jentera Panigale menunjukkan 'belang'nya apabila keduadua pelumba mereka mula membuka jarak manakala Rea tetap cuba untuk tidak ketinggalan.
Satu kesilapan dilakukan oleh Melandri dan satu kesilapan daripada Fores sudah cukup untuk Rea kembali ke hadapan. Jentera Melandri bergoyang dan hampir menyebabkan dia terbabas manakala Fores pula berakhir di tepi litar setelah tayar hadapannya gagal mencengkam ketika dia cuba mengekang kemaraan Rea.
Walaupun begitu, kekecewaan dua pelumba Ducati tersebut pantas diubati oleh Davies yang bukan sahaja berjaya mengejar malah telah menunjukkan kawalan jentera yang mengagumkan untuk menewaskan Rea dengan penuh gaya. Melandri masih mampu tersenyum kerana berjaya meraih tempat ketiga dan kutipan 16 mata lagi.
Rea kini berada di tangga tertinggi dengan 114 mata diikuti Davies 102 mata dan Marco Melandri di tangga ketiga dengan 96 mata.
World Supersport Championship
Selepas tiga kali percubaan, akhirnya Litar Aragon telah menjadi saat paling bermakna buat pelumba Jerman, Sandro Cortese apabila berjaya muncul juara dengan menewaskan pencabar terdekatnya Federico Caricasulo dari pasukan GRT Yamaha Official WorldSSP dan juga meraih podium pertama buat dirinya. Ini juga pastinya saat paling manis buat Yamaha apabila keempatempat pemenang utama perlumbaan ini memacu jentera Yamaha YZF R6.
Caricasulo pada mulanya cuba memberi tentangan tetapi akhirnya terpaksa mengaku kalah apabila Cortese memiliki cukup ramuan pada hari itu untuk bergelar juara. Apa pun, Caricasulo tetap berbangga apabila berjaya tiba terlebih dahulu daripada Jules Cluzel yang cuba beberapa kali untuk memintas. Dengan kemenangan tersebut, Cortese kini telah berjaya naik ke tangga kedua keseluruhan dengan 54 mata, empat mata di belakang Lucas Mahias. Empat mata di belakang Cortese pula ialah Randy Krummanacher yang kini berada di tangga ketiga keseluruhan.
WorldSSP 300
Perlumbaan pembuka tirai untuk musim ini telah dimenangi oleh pelumba dari Belanda, Koen Meuffels yang telah berjaya mempamerkan kawalan jentera yang cukup mengagumkan. Turut cemerlang pada perlumbaan sulung ini ialah Scott Deroue yang juga dari Belanda. Tempat ketiga dimenangi oleh Mika Perez dari Sepanyol manakala Mykyta Kalinin dari Ukrain di tempat keempat.
Selain Meuffels, ketiga-tiga pelumba tersebut adalah jaguh-jaguh yang menunggang jentera Kawasaki.
“Saya hampir tidak terkata kerana terlalu gembira. Terima kasih buat pasukan yang telah bekerja keras. Mereka memberikan unit jentera yang sangat hebat untuk bergelar juara,” komen Meuffels. RR
Popular