Pasukan Honda HRC Castrol Masih Mencari Rentak

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum kita menyaksikan saingan MotoGP kembali ke Eropah untuk pusingan kelima, bermula di Litar Jerez penghujung minggu ini.

Masih ingat dengan pertarungan waktu malam di Litar Lusail, Qatar beberapa minggu lalu. Ya...pusingan tersebut sememangnya ditunggu-tunggu oleh para peminat MotoGP di seluruh dunia. Seperti yang dijangka, jentera dari Itali sekali lagi mendominasi dengan kejayaan meraih kedudukan tangga pertama, kedua dan ketiga.


Tahniah buat Johann Zarco yang menamatkan saingan di tempat keempat. Sedikit sebanyak berjaya meletakkan jenama motosikal Jepun khususnya Honda di kedudukan yang baik. Namun begitu, para peminat pasukan Honda sudah tentu ingin melihat peningkatan prestasi dan keputusan daripada pasukan utama, Honda HRC Castrol yang diwakili oleh Joan Mir dan Luca Marini.
Peningkatan telah dilakukan untuk jentera RC213V tahun ini. Paling utama tentulah enjin 1,000cc, 4 lejang V4 yang sangat bertenaga dan mampu memecut lebih daripada 360km/j. Kekuatan tenaga dari enjin ini dipadankan dengan beberapa 'upgrade' pada bahagian casis yang ringan tetapi tegar untuk tujuan mengoptimumkan kestabilan, keseimbangan, ketangkasan yang dikehendaki oleh Mir dan Marini.
Setakat ini, purata keputusan kedua-dua pelumba Honda HRC adalah di tempat ketujuh dan kelapan. Mungkin ramai yang beranggapan pasukan Honda sudah hilang taringnya tetapi hakikatnya, mereka dalam proses pembangunan. Honda HRC bukan pemain baru dalam dunia perlumbaan. Fasa mereka sama seperti yang dilakukan oleh oleh Aprilia, KTM dan Ducati yang sebelum ini sukar untuk mengejar jentera Honda mahupun Yamaha. Ia hanya soal masa, apabila tiba saatnya...mungkin kita dapat melihat sesuatu yang berbeza.
Joan Mir dan Luca Marini tidak pernah berputus asa. Luca Marini sedar dengan setiap penambahbaikan tetapi pada masa yang sama, dia juga masih tertekan kerana jenteranya masih ketinggalan. Marini percaya Honda perlu terus fokus di beberapa isu tertentu seperti kemantapan enjin dan laju maksimum. Dia juga mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuan pasukannya untuk mengembalikan jentera RC213V di kedudukan teratas.

"Kami mempunyai permulaan yang baik untuk tahun ini dan perkara pentingnya ialah kami telah dapat meningkatkan prestasi setiap hujung minggu. Jentera dan saya bertambah baik dan kini kami tiba di Jerez. Saya tidak sabar untuk melihat apa yang boleh kami lakukan pada hujung minggu. Kami juga ada ujian penting pada hari Isnin. Sekarang kami sudah kembali ke Eropah dan memerlukan lebih banyak perkara untuk diselesaikan,” Luca Marini.
Joan MIr mungkin paling 'tough', walaupun beberapa kali terbabas...gagal tamatkan perlumbaan, dia masih optimis. Mir akui jentera RC213V memiliki kualiti yang cukup tinggi tetapi jika dibandingkan dengan jentera saingan, mereka jauh ketinggalan. Mir juga ada mencadangkan agak menggabungkan kebijaksanaan di antara Jepun dan Eropah yang menjadi kekuatan pasukan Honda.
"Saya telah dapat menjalani minggu yang baik untuk proses pemulihan dan berlatih dengan baik, saya kembali merasakan yang terbaik. Kini kami bertandang ke Jerez, perlumbaan Eropah pertama tahun ini dan satu pasti penyokong tuan rumah akan menambah semangat. Kami dapat melihat bahawa motosikal itu jauh lebih baik, dan inilah masanya untuk kami kembali dan menunjukkan potensi,” Joan Mir.
Adakah cadangan bekar juara dunia itu diterima? ...dan adakah mampu mengubah nasib pasukan ini? Sama-sama kita nantikan. RR
Popular