Marc Marquez Dominasi GP Thailand, Pamer Tunggangan Cukup Padu!

Perlumbaan pembuka tirai saingan MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa Buriram pada 2hb Mac lalu telah mempertontonkan kita dengan kehebatan bekas juara MotoGP enam-kali, Marc Marquez dari pasukan Ducati Lenovo yang meraih kemenangan penuh bergaya.

Prestasi Marquez sepanjang minggu cukup mengagumkan dan telah diterjemahkan pada perlumbaan Sprint, sehari sebelum pertarungan sebenar. Dengan kemenangan itu, Marquez dapat bermula di petak pertama diikuti adiknya Alex Marquez dan Francesco Bagnaia (Pecco). Cuaca juga sempurna buat ribuan penonton yang hadir menikmati perlumbaan dua roda paling hebat di muka bumi.



Dengan permulaan sempurna, Marquez bermula dengan sempurna untuk memimpin perlumbaan. Skrip yang hampir sama dengan perlumbaan Sprint dan pada masa yang sama, pelumba baru iaitu Ai Ogura turut berada dalam kelompok 'podium'.


Ai Ogura cuba segalanya untuk mengekalkan diri bersama tiga pelumba terpantas itu tetapi sedikit demi sedikit, dia mula ketinggalan. Pelumba KTM, Pedro Acosta juga antara pelumba yang dilihat mampu mencabar tetapi sayangnya dia terbabas pada lap keempat dan terpaksa bersara awal.

Tiba-tiba pada lap ke-7, Marquez dilihat memperlahankan rentak sehingga Alex Marquez dapat memintasnya dan bermulalah 'perang saudara' di antara dua Marquez itu.


Di belakang, para pelumba lain terus mencari peluang untuk menamatkan saingan di antara 10 pelumba terbaik. Antaranya Johann Zarco (Castrol Honda), Marco Bezzecchi dan Brad Binder.

Tidak seperti yang kita harapkan, duo pasukan Yamaha iaitu Fabio Quartararo dan Alex Rins kurang menyerlah untuk pusingan kali ini. Quartararo sekadar di tempat ke-15 manakala Rins ke-17.
GP Thailand 2025 dimenangi oleh Marc Marquez yang akhirnya berjaya mengenepikan adiknya manakala posisi ketiga podium milik Francesco Bagnaia. RR
Popular