Zulfahmi terkilan cara pengurusan MIE Racing terhadap pelumba negara

BEKAS pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin, melontarkan kritikan pedas terhadap pasukan Petronas MIE Racing Honda Team, mendakwa pasukan tersebut gagal memainkan peranan dalam pembangunan bakat pelapis sukan permotoran negara.
Kritikan ini dilontarkan susulan prestasi kurang memuaskan yang dipamerkan oleh dua pelumba negara, Zaqhwan Zaidi dan Syarifuddin Azman, dalam perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) 2025 di Litar Phillip Island, Australia, minggu lalu.
Zaqhwan, yang membuat penampilan sulung dalam kategori elit WorldSBK, gagal melayakkan diri ke perlumbaan. Syarifuddin, atau lebih dikenali sebagai Damok, yang bersaing dalam kelas WorldSSP, hanya mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17 dalam Perlumbaan 1 dan ke-19 dalam Perlumbaan 2.
"Prestasi Damok dan Zaqhwan jauh daripada yang kita harapkan. Saya yang pernah menguruskan Damok dan berkawan rapat dengan Zaqhwan, amat kecewa. Mereka mampu beraksi lebih baik," ujar Zulfahmi.
Zulfahmi berpandangan bahawa penajaan Petronas terhadap pasukan MIE Racing wajar diteliti semula jika tidak membawa impak positif kepada perkembangan pelumba negara.
"Kita sudah lihat apa yang berlaku kepada Hafizh Syahrin Abdullah, Adam Norrodin, dan Khairul Idham Pawi. Kini, Zaqhwan dan Damok pula mengulangi nasib yang sama," katanya.
Beliau menegaskan bahawa kritikan ini bukan ditujukan kepada pelumba, tetapi lebih kepada sistem dan persediaan pasukan.
"Ini bukan tahun pertama mereka berlumba. Ini tahun ketiga, dan keputusan yang dipamerkan amat mengecewakan.
"Dua motosikal berwarna hijau Petronas sepatutnya berada di hadapan, tetapi kali ini mereka berada di belakang. Persediaan mereka ke kejohanan ini memang tidak munasabah," katanya. RR
sumber: https://www.sinarharian.com.my
Popular