MotoGP - 'Buriram Test': Keputusan Cukup Positif Untuk Mir & Marini Di Thailand.

Litar Antarabangsa Buriram, Thailand: Joan Mir telah mempamerkan tunggangan cemerlang untuk menduduki tempat keenam keseluruhan manakala rakan sepasukannya, Luca Marini di tempat ke-14 dalam usaha pasukan Honda HRC Castrol mencari rentak saingan tahun ini.


Ujian Pramusim MotoGP secara rasmi berakhir pada 13hb Februari 2025, hari kedua ujian dan ia merupakan tempoh yang cukup sengit. Setiap ujian, talaan, kesungguhan para pelumba telah berakhir dengan terbenamnya matahari.

Kedua-dua penunggang Honda HRC Castrol berusaha gigih untuk lebih memahami apa yang mungkin akan menanti mereka pada perlumbaan sulung, pada 2hb Mac nanti. Bagaimana prestasi jentera mereka apabila lampu merah di GP Thailand dipadamkan nanti. Joan Mir dapat meningkatkan rentak dan catatkan masa terbaiknya bermula hari Rabu sebanyak 0.7s untuk menamatkan ujian di tempat ke-6 keseluruhan dengan catatan Lap terpantas 1'29.399.
Amat mengagumkan ialah pada sesi petang terakhirnya di Buriram. Mir telah menyempurnakan lap demi lap secara konsisten dalam jangka masa 1'30 dan ketika itu diposisi kedua yang telah menarik perhatian utama dalam sesi terakhir. Mir meninggalkan dua hari sesi ujian itu dengan motivasi dan fokus yang tinggi.

Jaguh kedua pasukan HRC, Luca Marini pula meninggalkan Buriram dengan catatan masa terbaik 1'29.783, meletakkan dirinya di tempat ke-14 keseluruhan. Pada hari Khamis menyaksikan pelumba bernombor #10 terus bekerja keras, membuat penilaian beberapa pilihan dan potensi enjin untuk menggalas tanggung jawab Honda pada perlumbaan hujung minggu yang akan datang.

Ini menyimpulkan setiap sudut termasuklah rentak, prestasi enjin dan data dari kedua-dua hari. Ini amat penting buat pelumba Itali itu melalui program ujian bersama pasukannya bagi menentukan asas talaan terbaik jentera Honda RC213V.
Pasukan Honda HRC Castrol kini akan kembali ke pangkalan untuk beberapa pelarasan akhir sebelum musim baru bermula dengan GP Thailand, 28 Februari hingga 02 Mac nanti.
Saingan Kejuaraan Dunia MotoGP yang akan membuka tirai di Thailand sememangnya sangat dinanti-nantikan. Selepas GP Thailand, para pelumba akan ke Argentina, Amerika dan Qatar sebelum kesemuanya kembali mendarat di Eropah untuk majoriti saingan musim ini. RR
Popular