Pasukan Aprilia Racing 2025: Martin dan Bezzecchi Sedia Menggempur...
Pasukan Aprilia menyifatkan musim ini sebagai Era Baru untuk mereka dengan kehadiran dua pelumba berbakat, Jorge Martin selaku Juara MotoGP 2024 dan Marco Bezzecchi yang bersama-sama akan menunggang jentera evolusi terkini RS-GP25. Untuk memberi sokongan kepada kedua-dua pelumba ini, Lorenzo Savadori juga dengan rasminya telah dipilih sebagai 'Test Rider'.
Jentera Aprilia RS-GP25 merupakan evolusi penting dalam projek pembangunan MotoGP Aprilia Racing. Setiap butiran dan spesifikasi telah dirombak semula bagi mempertingkatkan prestasi ke tahap tertinggi. Langkah ini juga bakal 'menaikkan' status Aprilia Racing sebagai salah satu pasukan utama dalam MotoGP.
Semua bahagian dan sudut jentera RS-GP25 telah ditambah baik. Ini termasuklah daripada ciri-ciri aerodinamik, ketegaran casis, sehinggalah kepada sistem elektronik dan enjin V4. Jabatan Teknikal GP25 yang diketuai oleh Fabiano Sterlacchini, telah menyahut cabaran baharu ini dengan mengekalkan penggunaan DNA dunia perlumbaan Aprilia dalam pembikinan jentera perlumbaan ini.
Jorge Martin:
"Saya 'super' teruja dengan cabaran bersama pasukan baru ini. Ya... untuk menang bersama Aprilia. Sasaran saya cukup jelas, kami perlu fokus untuk jadi yang terbaik."
"Saya kini berada di posisi paling baik untuk meraih kejayaan. Ia memang satu perjalanan dan cabaran yang menarik. Saya benar-benar bersemangat menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan semestinya untuk memulakan musim baru."
Marco Bezzecchi:
"Saya amat gembira dapat sertai pasukan dari jenama yang cukup penting ini, ia cukup menggembirakan. Saya tidak sabar lagi untuk berada di litar, bekerja keras dan cuba mencapai keputusan-keputusan yang baik."
"Motivasi kami cukup tinggi dan itu sesuatu yang saya sangat hargai. Saya benar-benar bersemangat! Jumpa anda di Sepang nanti untuk sesi ujian!”. RR