MotoGP: Gresini Racing Lancar Liveri 2025 & Perkenalkan Barisan Pelumbanya
Gresini Racing telah melancarkan pasukan mereka dan liveri MotoGP untuk musim 2025 di Litar Antarabangsa Imola.
Untuk tahun ini, Gresini Racing diperkuatkan oleh Alex Marquez. Manakala ruang kosong yang sebelum ini milik Marc Marquez diisi oleh pelumba dari kelas Moto2, Fermin Aldeguer.
Musim 2025 merupakan tahun ketiga Alex bersama pasukan Gresini. Pelumba yang berasal dari Sepanyol itu telah bersaing dengan cukup baik dan menamatkan cabaran musim 2024 di tangga kelapan keseluruhan dengan satu podium. Gandingan dia bersama abangnya, Marc Maquez tahun lepas telah meletakkan kedudukan pasukan Gresini di tempat ketiga.
Sementara itu, walaupun Fermin bukanlah juara keseluruhan kategori Moto2, Gresini yakin dan memberi kepercayaan kepada pelumba berusia 20 tahun itu.
Para pelumba Gresini Racing bakal menggunakan jentera Ducati Desmosedici GP24 yang dipadankan dengan warna biru dan beberapa kemasan krom pada jentera.
"Saya telah bersama pasukan ini selama tiga tahun berturut-turut. Musim lalu telah berakhir dengan baik dan tiba masanya untuk kembali beraksi. Warna baharu ini amat menakjubkan dan harap semua orang akan sukakanya," kata #73 Alex Marquez.
"Ini adalah tahun pertama saya sebagai pelumba dalam kelas perdana. Jentera ini sangat hebat dan agresif. Saya akan berikan saingan yang terbaik buat pasukan," kata #54 Fermin Aldeguer.
Selain itu, acara ini juga bukan sahaja tertumpu tentang pelancaran pasukan tetapi turut memberi penghormatan kepada pengasas pasukan Gresini iaitu Fausto Gresini dengan mempamerkan sejarah pasukan di dalam muzium khas. Terdapat juga terowong yang bertemakan filem buat para tetamu untuk menceritakan kisah perjalanan pasukan Gresini sehigga kini. RR