MotoGP 2025: Monster Energy Yamaha MotoGP & Prima Pramac Yamaha Akan Diperkenalkan Di Malaysia
Setakat ini, Monster Energy Yamaha MotoGP dan Prima Pramac Yamaha hampir pasti akan melancarkan pasukan mereka di Malaysia bersempena bermulanya musim baru, 2025. Keputusan ini dilihat menerusi laman web rasmi MotoGP https://www.motogp.com/ yang telah berkongsikan tarikh dan lokasi pengenalan beberapa buah pasukan yang bakal bertanding dalam saingan musim terbaru MotoGP tahun ini.
Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP diwakili oleh Fabio Quartararo dan Alex Rins manakala pasukan Prima Pramac memberi kepercayaan kepada Miguel Oliviera dan Jack Miller.
Fabio Quartararo - juga dikenali dengan panggilan El-Diablo merupakan pelumba dari Perancis yang memiliki semangat juang dan gaya tunggangan yang mengagumkan. Pada usia 22 tahun, Quartararo telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan MotoGP 2021 dan merupakan pelumba Perancis pertama yang meraih gelaran tersebut. Tahun lalu ternyata sukar untuknya tetapi menjelang penghujung musim, dia telah berjaya mula memberikan keputusan yang positif dengan kedudukan antara 10 pelumba terbaik. Kedudukannya pada musim lepas adalah di tempat ke-13 dengan kutipan 113 mata.
Alex Rins - pasti ramai yang menyukai pelumba dari Itali ini. Dengan gaya tunggangan yang unik dan karaktor garangnya di litar membuatkan ramai pelumba gerun dengan kehadirannya. Musim pertamanya bersama Yamaha ternyata ada baik dan ada kurang baik.
Namun begitu, Rins sentiasa memberikan respon terbaik untuk pasukannya dalam usaha peningkatan prestasi enjin dari masa ke semasa. Kedudukan Alex Rins pada tahun 2024 iaitu di tempat ke-18 dengan 31 mata.
Jack Miller - terkenal sebagai pelumba yang menghiburkan dan 'nakal'. Namun begitu, jangan silap! Miller memang cukup agresif di atas litar. Gaya tunggangan pelumba dari Australia ini memang padu dan telah beberapa kali meletakkan kakinya di podium bersama pasukannya sebelum ini.
Tahun lalu, Miller berada di tangga ke-14 keseluruhan dengan 87 mata. Episod barunya akan bermula bersama pasukan Prima Pramac dan sudah pasti kita tidak sabar-sabar lagi ingin melihat sejauh mana Miller mampu 'memecut' musim ini.
Miguel Oliviera - pelumba muda dari Portugal yang menyertai saingan MotoGP bermula pada tahun 2019. Prima Pramac Yamaha merupakan pasukan ketiganya dan segala pengalaman berlumba bersama dua jenama sebelum ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk membawa jentera Yamaha di posisi yang lebih baik. Pada musim 2024, Oliviera meraih 75 mata untuk meletakkan dirinya di tempat ke-15 keseluruhan.