Alex Rins Cipta Sejarah!
Ia adalah saat paling indah dalam hidup pelumba pasukan Suzuki Ecstar, Alex Rins sebaik sahaja menerima kibaran bendera penamat dan gelaran juara perlumbaan pusingan ketiga yang berlangsung di Red Bull Grand Prix of the Americas pada pertengahan April lalu. Kejayaan ini adalah hadiah terbaik buat dirinya yang telah berhempas pulas sejak menggalas cabaran pada tahun 2016 yang lalu.
Walaupun bermula di petak ketujuh, kecekalan pelumba dari Barcelona ini mengejar dan memintas seorang demi seorang sememangnya suatu di luar dugaan. Penyandang juara, Marc Marquez terlebih dahulu mempamerkan kehebatannya untuk bermula dengan sempurna dan memimpin perlumbaan. Valentino Rossi yang bermula di petak kedua cuba memberi cabaran diikuti oleh Carl Crutchlow dan Jack Miller. Rins yang berada di posisi kelima pada lap ketiga mengekalkan rentak agar tidak terlalu ketinggalan di belakang.
Kepantasan Marquez sukar ditandingi menyebabkan ‘The Doctor’ mula ketinggalan sedikit demi sedikit. Dari perbezaan masa 0.26 saat, Marquez hanya memerlukan dua lap sahaja untuk membuka jarak sejauh 2.282 saat yang sudah selesa. Perebutan tempat kedua pula semakin rancak! Crutchlow yang semakin hampir memintas Rossi terbabas dan terpaksa melupakan hasratnya untuk menaiki podium dan tinggallah Miller dan Rins yang terus mengasak Rossi.
Ketika perlumbaan berbaki 12 lap sahaja lagi, pasukan Repsol Honda tersentak apabila jagoan mereka, Marquez terbabas ke luar litar dan gagal menyambung semula perlumbaan. Rossi mengemaskan tunggangan untuk meraih kemenangan pertamanya tetapi diberi tentangan hebat oleh Rins.
Jentera Yamaha YZR M1 dan Suzuki GSX-RR dilihat sama hebat. Kedua-dua jentera ini mampu dipecut lebih daripada 330km/j dengan mudah. Namun begitu, keazaman dan kemampuan mencipta sesuatu yang luar biasa adalah resepi penting untuk bergelar juara dan pada perlumbaan pusingan ketiga itu, Alex Rins melakukannya. Rossi sekali lagi terpaksa berpuas hati di tempat kedua diikuti oleh Miller dan Dovizioso masingmasing di tempat ketiga dan keempat.
“Ia sangat mengagumkan! Saya benarbenar gembira dengan keputusan ini lebih-lebih lagi selepas seluruh pasukan bekerja keras untuk dapatkan talaan yang tepat. Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan perasaan saya sekarang cuma saya amat berterima kasih kepada seluruh rakan sepasukan. Hari ini cukup gembira buat Suzuki,” kata Alex Rins.
“Saya mohon maaf kerana gagal mencapai kemenangan walaupun pada mulanya sudah yakin berbuat demikian dengan ketiadaan Marquez. Saya memimpin perlumbaan agak lama tetapi apabila diserang dan dipintas oleh Rins, agak sukar untuk menyainginya. Dia benar-benar laju dan memiliki rentak yang lebih baik berbanding saya. Perasaan saya bercampur baur... separuh rasa kecewa kerana sudah hampir dengan kemenangan manakala separuh perasaan saya lagi cukup gembira dengan peningkatan prestasi pasukan kami,” komen Valentino Rossi.
Tahniah buat pelumba pasukan PETRONAS Yamaha SRT di atas kejayaan Franco Morbidelli menamatkan cabaran di antara lima pelumba terbaik manakala rakan sepasukannya, Fabio Quartararo di tempat ketujuh. Andrea Dovizioso kini di tangga teratas carta keseluruhan dengan 54 mata diikuti oleh Valentino Rossi (51 mata), Alex Rins (49 mata) dan Marc Marquez di tangga keempat keseluruhan dengan 45 mata.
Moto2
Hasrat pelumba Itali, Lorenzo Baldassarri untuk membuat hatrik di Argentina musnah sama sekali selepas terlibat dalam kemalangan tidak beberapa lama sebaik perlumbaan dimulakan. Ini memberi peluang buat pelumba Switzerland, Thomas Luthi dan Marcel Schrotter dari Jerman. Namun begitu, kedua-dua pelumba ini diberi tentangan hebat oleh Alex Marquez yang mempunyai kepantasan mengagumkan.
Luthi akhirnya memperoleh peluang keemasan pada 10 lap terakhir untuk memintas dan dia berjaya! Marquez ternyata belum bersedia untuk melepaskan kedudukannya lalu terus membuat serangan demi serangan sehingga dia hampir terbabas pada lap berikutnya. Posisinya bertukar lagi selepas dipintas oleh Schrotter di tempat kedua dan Jorge Navarro di tempat ketiga.
Dalam perlumbaan ini, Khairul Idham Pawi turut mempamerkan persembahan yang semakin baik dengan kemampuan menamatkan perlumbaan di tempat ke-17. Tangga keseluruhan Moto2 2019 diungguli oleh Lorenzo Baldassari dengan 50 mata, diikuti oleh Marcel Schrotter 47 mata manakala pemenang litar Americas, Thomas Luthi di tangga ketiga dengan 45 mata.
Moto3
Jaume Masia dan Aron Canet masing-masing terikat di tangga pertama Moto3 selepas kedua-dua pelumba Sepanyol ini mengumpul 45 mata yang sama. Dalam perlumbaan pusingan pertama di Qatar, Canet cemerlang untuk meraih tempat ketiga manakala Masia gagal memungut sebarang mata tetapi Masia menebus kembali kekecewaannya pada pusingan kedua di Argentina untuk muncul juara penuh bergaya. Canet kurang menyerlah dengan keputusan akhir di tempat ke-12.
Litar Red Bull Grand Prix of the Americas menjadi medan pertarungan kedua-dua pelumba muda ini. Keupayaan mereka meratah setiap selekoh di litar tersebut menerima sorakan cukup gemuruh. Antara pelumba lain yang turut berada di dalam kelompok paling depan ialah Andrea Migno, Gabriel Rodrigo dan ramai lagi.
Dengan kelebihan 0.909 saat di depan, Aron Canet akhirnya berdiri megah di tangga tertinggi podium manakala Jaume Masia dan Andrea Migno masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Jerez, Sepanyol pada 5 Mei 2019 diikuti Le Mans, Perancis pada 19 Mei nanti. RR
Popular