Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan
Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar. Bermula di petak pertama, Pecco dikejutkan dengan pecutan luar biasa Jorge Martin untuk merampas kedudukan di tempat pertama. Tanpa diduga, pelumba pasukan Yamaha, Fabio Quartararo 'mencelah' untuk bersama kelompok hadapan.
Pecco membalas serangan Martin walaupun dalam keadaan litar yang cukup licin. Juara GP Australia, Marc Marquez kemudiannya muncul untuk mencari peluang mencipta kemenangan berganda. Di belakang, Pedro Acosta semakin laju dan mula memintas seorang demi seorang hingga berada di belakang Jack Miller yang ketika itu di tempat keempat.
Martin melakukan kesilapan besar pada lap ke-4 yang menyebabkannya hilang kedudukan. Pecco mengambil peluang itu sebaiknya untuk merangka strategi tetapi seorang lagi 'pengacau' di belakangnya (Marquez) tidak membenarkan Pecco lari dengan mudah.
Marquez tenang dan apabila melihat ada ruang, dia membuat serangan. Dalam keghairahannya mencipta kemenangan, tayar motosikal Marquez hilang cengkaman dan terbabas keluar litar. Walaupun masih mampu meneruskan perlumbaan, juara dunia 8 kali itu terpaksa melupakan hasratnya ke podium.
Pecco terus mengekalkan momentum dengan berhati-hati. Litar yang semakin kering memberikan kelebihan buat jentera Pecco untuk memecut sehabis-habisnya sehingga menerima kibaran penamat di tempat pertama. Martin masih di tangga teratas keseluruhan walaupun sekadar naib juara.
Perebutan tempat ketiga memang jauh lebih mendebarkan. Bekas juara Moto2, Acosta memang cukup berani...malah lebih 'gila' daripada Jack Miller. Serangan dari Acosta memang padu walaupun permukaan litar belum benar-benar kering dan akhirnya berdiri megah di tempat ketiga. Miller pula dikecewakan oleh Fabio Di Giannantonio di saat akhir untuk merampas tempat keempat.
Tinggal lagi 2 pusingan dan hanya 2 pelumba sahaja yang sedang merebut takhta. Jorge Martin di tangga teratas dengan 453 mata manakala Pecco di tangga kedua dengan 436 mata.
Dari Thailand, para pelumba kini akan hadir ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu ini sebelum terbang ke Valencia untuk perlumbaan penutup tirai pada 15-17hb November 2024. RR
Popular