MOTOGP: Ai Ogura Ke Kelas Perdana, Sertai Pasukan Trackhouse Racing Bermula Musim 2025

Pelumba Moto2, Ai Ogura sah bersaing untuk pasukan Trackhouse Racing di kelas perdana bagi musim 2025 dan 2026.
Pelumba 23 tahun dan berasal dari Jepun itu memiliki prestasi yang amat memberansangkan pada musim ini. Ai Ogura yang berlumba untuk pasukan MT Helmets-MSI di kejuaraan Moto2 kini berada di kedudukan kedua secara keseluruhan dengan kutipan 142 mata.
Selepas meraih kedudukan naib juara di Asian Talent Cup pada tahun 2016, Ogura telah berhijrah ke Eropah pada tahun berikutnya dengan menyertai FIM CEV Moto3™ Junior World Championship selama dua musim. Pada tahun 2018 pula, dia memulakan penampilan pertamanya di Kejuaraan Dunia Moto3™ sehingga 2020. Ogura mula berganjak ke tahap seterusnya di peringkat Moto2™ pada tahun 2021.
Bermula musim 2025 beliau akan bergandingan bersama Raul Fernandez di kelas MotoGP dan akan menggunakan jentera Aprilia RS-GP yang sama spec seperti pasukan pengilang. RR