Petronas Cub Prix 2024 (Terengganu): Azroy Raih Kemenangan Pertama Musim Ini

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu menyaksikan pelumba kelas perdana, Azroy Hakeem Anuar (HONDA ESTREMO YUZY RACING) mengesahkan kemenangan pertamanya musim ini.

Di sesi “Super-Pole” pagi tadi, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Md Akid Aziz terlebih dahulu mencatatkan masa terpantas 48:409s sekaligus mengambil kedudukan grid pertama dalam perlumbaan akhir. Di grid kedua adalah Azroy yang mencatat masa terpantas 48:767s diikuti Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING dengan catatan masa 48:899s di petak ketiga.


Sebaik sahaja perlumbaan dimulakan, Afif dan Akid dengan pantas mengambil kedudukan hadapan diikuti oleh Azroy di P3. Masuki Lap ke-4, Azroy yang mengekori rapat berjaya memintasnya tetapi Akid pantas merebut kembali kedudukan teratas itu.
Dengan rentak yang konsisten sehingga pusingan ke-19, Azroy akhirnya berjaya memintas Akid dan terus memecut ke hadapan meninggalkan Akid di P2. Azroy memenangi perlumbaan dengan catatan masa 16'20:880s.



Azroy berkongsi, “Saya ingin mengucapkan terima kasih yang sebesar-besarnya kepada pasukan saya. Mereka tidak pernah berputus asa dalam mencari pelarasan terbaik untuk jentera saya. Saya juga sentiasa memberikan 100% apabila berada di atas motor. Dalam perlumbaan tadi, Akid memang sangat laju, dan saya terpaksa mengikutnya dari belakang. Dalam fikiran saya, mungkin kali ini saya hanya mampu mencapai P2. Namun, pada penghujung perlumbaan, Akid mula memperlahankan jentera, dan saya tidak pasti apa yang terjadi kepadanya."

"Dalam dua lap terakhir, dia melakukan kesilapan di chicane turn, dan saya mengambil kesempatan untuk memintasnya. Mungkin rezeki berpihak kepada saya hari ini, dan saya sangat gembira. Kini, kami akan fokus kepada perlumbaan seterusnya.”
Pemenang tempat ketiga menjadi milik Afif dengan catatan masa 16'26:933s diikuti Kasma Daniel Kasmayudin dan Shahrol Syazras yang masing-masing di tempat keempat dan kelima. RR