CP150: Afif Akan Pertingkatkan Lagi Prestasinya
Hujung minggu ini bakal berlangsungnya saingan pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di litar Antarabangsa PETRONAS Sepang sebelah selatan. Untuk kelas perdana, Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing akan mempertingkatkan lagi prestasinya untuk meraih kemenangan.
Menurut Afif, walaupun beliau sudah lama beraksi di CP150 tetapi terdapat pelbagai cabaran kerana perlu bersaing dengan para pelumba yang hebat. Lebih-lebih lagi dengan cabaran yang berterusan daripada rakan sepasukan untuk dua musim berturut-turut. Walalubagaimanapun, cabaran inilah yang dapat mempertingkatkan lagi prestasinya dan memperbaikan kelemahan pada diri agar lebih kompetitif.
Pelumba kelahiran Terengganu ini memaparkan persembahan yang konsisten sepanjang perlumbaan mahupun di litar teknikal dan litar kelajuan tinggi. Semasa di Tangkak, walalupun Afif tidak berada di tempat tiga teratas, beliau bangkit pada pusingan seterusnya dengan meraih tempat pertama di Sepang. Selepas empat pusingan, Afif kini di kedudukan kedua secara keseluruhan dengan kutipan sebanyak 71 mata.
"Peraturan baru agak mencabar kerana kuasa jentera saya telah menurun manakala berat badan saya lebih berat berbanding dengan pelumba-pelumba lain. Ini adalah cabaran yang besar buat saya. Oleh itu, saya bercadang untuk menurunkan berat badan. Setiap perlumbaan saya sentiasa berfikir tentang jumlah mata keseluruhan. Saya sentiasa cuba buat yang terbaik. Saya gembira dengan pencapaian rakan sepasukan yang kini berada di tangga teratas," kata Afif.
"Dari segi jentera pula tiada perubahan, masih sama seperti musim lepas. Hanya perlu membuat perubahan untuk serasi dengan peraturan 2024. Walaupun pelumba-pelumba lain seperti Azroy dan Kasma bersaing dengan hebat, tetapi mereka masih mencari "setup" jentera agar lebih baik. Kelebihan yang ada adalah daripada rakan sepasukan saya kerana dapat berkongsikan mata untuk kedudukan pasukan," tambahnya.
Saingan Cub Prix pusingan kelima akan berlangsung hujung minggu ini pada 20hb - 21hb Julai 2024. Ayuh hadir untuk beri sokongan kepada para pelumba kita. RR