Podium Berganda Buat Qabil di Portugal
Padu...padu..padu... Tahniah buat pelumba negara, Qabil Irfan yang berjaya menduduki tangga podium sebanyak dua kali dalam perlumbaan Campeonato de Espana de Superbike (ESBK) yang diadakan di Litar Antarabangsa Estoril, Portugal baru-baru ini.
Selepas menyempurnakan sesi ujian Moto4 di Litar Catalunya minggu lalu, Qabil memiliki keyakinan yang lebih tinggi untuk memberi cabaran. Dalam Pusingan 3 kejuaraan ini, saingan di peringkat awal agak sengit. Para pelumba memiliki rentak yang sama menjadikan peluang terbuka untuk sesiapa sahaja mencipta kemenangan.
Dalam 'kekalutan' itu, Qabil berjaya mencari ruang untuk menerima kibaran bendera penamat di tempat ketiga. Prestasi Qabil lebih baik dalam Perlumbaan 2. Dengan kecekapan dan semangat juang tinggi, kali ini Qabil berjaya mendahului para pelumba lain.
Menjelang beberapa lap sebelum tamat, dia dikejar dan terpaksa berhempas pulas untuk mempertahankan posisinya. Qabil akhirnya terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila tewas di tangan pelumba Itali, Leonardo Casadei dengan perbezaan masa hanya 0.056s.
"Di Perlumbaan 2, saya sempat mendahului perlumbaan sebentar dan gap dalam 1 saat lebih. Tetapi mereka berjaya kejar saya di akhir perlumbaan. Jangan lupa doakan kejayaan saya di Pusingan ke-4 nanti di Catalunya, Sepanyol," Qabil Irfan. RR