Ducati DesertX Rally Raih Kemenangan dalam 'Iron Road Prologue' di Erzbergrodeo
Eisenerz, Austria: Ducati DesertX Rally mencapai satu lagi kemenangan dalam kategori jentera silinder berkembar yang dianjurkan di Erzbergrodeo, salah satu perlumbaan enduro yang ekstrem dan cukup popular.
Kemenangan Antoine Meo seperti hadiah istimewa buat Ducati lebih-lebih lagi pada tarikh 2 Jun, di mana Pecco Bagnaia dan Enea Bastianini turut mencipta kemenangan 1-2 yang menakjubkan dalam perlumbaan MotoGP di Litar Mugello.
Juara dunia Enduro dan Juara Supercross Eropah itu memenangi Iron Road Prologue dengan menunggang jentera DesertX untuk kali kedua berturut-turut. Iron Road Prologue merupakan perlumbaan yang memerlukan lebih 1,300 orang pelumba yang mendaftar untuk "Rodeo" bagi melayakkan diri ke saingan akhir.
Dibahagikan kepada dua sesi, dimulakan dengan pendakian ultra-pantas (lebih 600 meter ketinggian atau lebih 13.5 km) di mana jentera berenjin tunggal dan silinder berkembar akan menyahut cabaran. Iron Road Prologue telah menjadi salah satu daripada perlumbaan paling popular dan ditunggu-tunggu oleh para pecinta motosikal lasak.
Antoine Meo yang dibantu oleh pasukan Entrophy Motorbike berjaya menetapkan masa terbaik dalam kategori yang dikhaskan untuk motosikal enjin silinder berkembar. Catatan masa yang itu membolehkan Rali DesertX berada di barisan hadapan dalam saingan akhir pada hari Ahad tempohari.
DesertX Rally membuktikan ia merupakan sebuah jentera kompetitif walaupun pada laluan sukar. Prestasi enjin Ducati dan ketegaran casis telah memberikan keputusan yang cemerlang di sepanjang perlumbaan. Jentera Meo dilengkapkan dengan ekzos perlumbaan dari Ducati Performance dan model lumba ini juga hanya menggunakan satu brek hadapan sahaja - sudah mencukupi untuk perlumbaan mendaki seperti Erzbergrodeo. Dua lagi pemilik Ducati DesertX iaitu Patrick Neisser dan Simon Marcic berjaya menamatkan saingan Iron Road Prolog di tempat keempat dan kelapan.
Selepas ini, jentera Ducati DesertX akan diuji lagi dalam kejuaraan Italian Motorally yang akan berlangsung di Foligno (PG), pada 29 dan 30 Jun nanti. Pelumbanya? Siapa lagi kalau bukan Antoine Meo yang akan ditemani oleh seorang lagi pelumba mantap, Antonio Polidoro.
DesertX disempurnakan dengan enjin 937cc Testastretta 11° Desmodromic, sistem penyejuk cecair yang berkuasa 110hp pada 9,250rpm dan tork 92Nm pada 6,500rpm. Model ini turut dilengkapkan dengan dua Mod Tunggangan yang direka eksklusif untuk tunggangan 'off-road'. RR
Popular