Peter Hickman, Juara Isle of Man TT 2024. Visor Rosak Kecewakan Michael Dunlop!
Pelumba England, Peter Hickman meraih kemenangan buat kali ke-14 dalam kategori Superbike RST, Perlumbaan TT Isle of Man yang penuh dramatik. Kemenangan ini juga meletakkan pelumba yang berusia 37 tahun itu berjaya menyamai jumlah kemenangan Sang Lagenda, Mike Hailwood.
Peter yang mendahului para pelumba lain dalam Lap Akhir melintasi garisan penamat dengan kelebihan 5.84 saat daripada Davey Todd di tempat kedua diikuti Dean Harrison (Honda Racing) di tempat ketiga. Namun begitu, saingan tahun ini lebih mendebarkan apabila Michael Dunlop pada asalnya memiliki rentak lebih padu dan berjaya mendahului pelumba di tempat kedua sejauh 25s ditimpa masalah visor pada topi keledarnya.
Perlumbaan berlangsung tepat pada jam 2.40 petang dengan keadaan cuaca yang hampir sempurna di sekitar Mountain Course. Todd terlebih dahulu tiba di menerusi Glen Helen tetapi diekori dengan rapat oleh Hickman, hanya 0.037 saat di belakang. Turut memiliki kelajuan yang mantap ialah Harrison, Dunlop, rakan sepasukan Hickman, Joshua Brookes dan James Hillier. Sayangnya Brookes tidak lama kemudian terpaksa bersara ketika tiba di Handley selepas rantainya tercabut.
Dunlop sudah berjaya mencipta rekod Lap Terpantas apabila tiba di Ramsey dengan kelajuan 218.13km/j diikuti Hickman (216.78km/j), Todd (215.61km/j), Harrison (214.41km/j) dan Hillier (212.26km/j). Masuk Lap 4, Dunlop meningkatkan kelajuan dan berjaya meninggalkan pencabar terdekatnya sejauh 25.1s.
Ketika inilah drama menyusul apabila klip visor barunya tidak masuk dengan betul menyebabkan dia terpaksa berhenti di Bray Hill dan telah kehilangan masa berharga hanya untuk memasukkan klip. Apabila Dunlop sampai di Glen Helen pada lap berikutnya, dia tercicir ke tempat keempat.
Hickman yang berada di posisi juara terus mengeratkan genggaman dan mengemaskan tunggangan. Dengan pecutan akhir pada kelajuan 218.12km/j, Hickman meraikan kemenangannya buat kali ke-14 dengan kelebihan 5.8 saat ke atas Todd manakala Harrison melengkapkan podium di tempat ketiga.
Michael Dunlop pastinya amat kecewa dengan keputusan kali ini selepas mempamerkan tunggangan cemerlang sepanjang minggu. Apapun, dia berjaya mencipta rekod Lap Terpantas dengan kelajuan 219km/j. RR
Popular