GP Perancis: Giliran Jorge Martin Loncat Gembira!

Jorge Martin (Prima Pramac Racing) menyerap segala tekanan dan serangan untuk mencipta kemenangan di Grand Prix Perancis dengan menewaskan juara bertahan, Francesco Bagnaia (Pecco) dan Marc Marquez di lap terakhir.

Di hadapan kira-kira 300,000 peminat yang hadir ke litar itu, barisan hadapan diungguli oleh jentera-jentera Ducati yang ketuai oleh Jorge di petak pertama. Namun begitu, Pecco terlebih dahulu melakukan holeshot untuk merampas kedudukan di depan. Mengejar rapat di belakang ialah Jorge, Maverick Vinales, Aleix Espargaro, Fabio Di Giannantonio dan Marc Marquez.

Kepantasan rentak yang sama membolehkan Martin dan Pecco 'melekat' dan membuka jarak dari kumpulan kedua. Setiap miringan, membrek, memecut telah dilakukan dengan sempurna oleh kedua-duanya. Jika salah seorang melakukan kesilapan, dia akan dipintas.

Di belakang, Marc dan Enea Bastianini berjaya memintas Maverick untuk berada di tempat ketiga dan keempat. Turut mencuri tumpuan ialah jaguh Yamaha, Fabio Quartararo yang bertarung sengit 'laman' sendiri tetapi sayangnya pelumba tuan rumah ini terbabas ketika sudah berada di posisi keenam.



Di depan, Jorge, Pecco dan Marc saling kejar mengejar. Pecco cuba menyerang Jorge dari dalam tetapi tidak dapat mencelah. Tiba-tiba, Marc terlihat ruang untuk membuat terjahan dan memintas Pecco seterusnya sekali lagi menaiki podium di tempat kedua, hanya 0.446s di belakang Jorge Martin.


Selepas Le Mans, saingan seterusnya ialah di itar Catalunya (24-26 Mei), Litar Mugello (31 Mei-2 Jun) sebelum meneruskan sesi Ujian Rasmi di Litar Mugello pada 3hb Jun 2024. RR