Akid Raih Kemenangan Kedua Musim Ini

Saingan kelas perdana Kejuaraan PETRONAS MAM Cub Prix pusingan kedua di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak menyaksikan kemenangan pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Md Akid Aziz.
Perlumbaan akhir dimulakan oleh Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor selepas mencatatkan masa terpantas 43:643s dalam sesi Super-Pole. Manakala Md Muzakkir Mohamed (ONEXOX TKKR Racing Team) bermula di petak kedua diikuti Nazirul Izzat (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) pada petak ketiga. Manakala Akid gagal mencatatkan masa terpantas sekaligus memulakan perlumbaannya di kedudukan kesepuluh.
Pada awal perlumbaan, Muzakkir dengan pantas untuk berada dikedudukan pertama. Namun beliau gagal mempertahankan kedudukan selaku pemimpin selepas dipintas oleh Nazirul dan Kasma. Di P5, Akid masih mencari rentak untuk mengejar pelumba-pelumba di hadapannya. Walaupun bermula dengan kurang baik, Akid berjaya menempatkan dirinya di kelompok hadapan dan bersedia untuk memberi cabaran kepada Nazirul dan Kasma.
Pada lap ke-15, Akid berjaya memintas Nazirul dan Kasma. Jentera Yamaha yang ditungganya terus memecut laju dan melepasi garisan penamat selaku juara dengan catatan 14'36:350s.
Manakala Kasma menang di tangga kedua dengan catatan 14'36:95s dan tempat ketiga menjadi milik Nazirul dengan 14'38:155s. RR