Padu! Hakim Danish Raih Podium di Sepanyol

Memang padu! Tunggangan yang penuh bertenaga dari pelumba muda negara, Hakim Danish dalam Perlumbaan 2 saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup semalam hampir benar memberikannya takhta juara. Turun menentang para pelumba lain yang juga cukup mantap, Hakim berada dalam kelompok paling hadapan sejak di awal saingan.
Kita mulakan terlebih dahulu dengan Perlumbaan 1. Dengan melakukan permulaan yang baik, Hakim dapat bersaing dengan kelompok hadapan serta melihat keupayaan dan kelemahan para pelumba lain. Terdapat beberapa selekoh di mana Hakim dilihat lebih laju dan itulah tempatnya untuk melakukan serangan. Ketika saingan berbaki 2 lap sahaja, Hakim membuat serangan dan melakukan kesilapan. Walaupun dapat menyambung semula, Hakim menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.
Rentak saingan kedua lebih pantas. Makin ramai pelumba yang mampu memberi saingan sehinggakan berlakunya banyak aksi pintas memintas. Sesiapa sahaja mampu mencuri posisi untuk berada di tempat pertama.
Sekali lagi, Hakim bermula dengan baik. Terdapat beberapa selekoh yang agak lembab dan licin tetapi ia tidak mengganggu konsentrasi Hakim untuk mengejar pelumba di hadapannya. Hakim dan para pelumba lain sering bertukar-tukar kedudukan tetapi menjelang lap terakhir, dia sudah berada di posisi pertama.
Lap akhir, Hakim masih di depan dan garisan penamat sudah berada di depan mata. Di saat-saat akhir, pelumba tuan rumah Alvaro Carpe memintas hanya beberapa meter sebelum garisan penamat untuk muncul juara dengan perbezaan masa hanya 0.006 saat sahaja. Sayang sekali!
"Pada 2 lap terakhir, saya cuba untuk kekalkan posisi tetapi akhirnya berjaya mendapatkan tempat kedua dan saya tidak sabar lagi untuk ke perlumbaan Pusingan 2 di Le Mans nanti. Saya gembira kerana berjaya memperbaiki kesilapan saya di Perlumbaan 1 dan piala ini untuk Malaysia!," Hakim Danish. RR