Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Pengeluar jenama motosikal ikonik Itali, Bimota bakal kembali ke pentas perlumbaan dunia pada tahun 2025 dengan menyertai Kejuaran Dunia Superbike (WorldSBK).
Untuk musim 2025, Bimota akan bekerjasama dengan Kawasaki di mana dari segi rekabentuk luaran jentera akan diuruskan oleh Bimota. Manakala Kawasaki menyediakan enjin dan teknologi daripada Ninja ZX-10RR.
“Bimota mempunyai pengalaman yang sangat cemerlang dalam penghasilan rekabentuk dan pembuatan motosikal. Kami percaya melalui kerjasama ini dapat mendedahkan lagi jenama ini di peringkat global. Komitmen kami dalam WorldSBK sangat kukuh dan berharap projek perlumbaan baru ini dapat memberi semangat kepada para peminat jenama Bimota dan Kawasaki,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kawasaki Motors, Ltd, Hiroshi Ito.

“Kejuruteraan, teknologi dan sokongan oleh Kawasaki meletakkan kembali jenama Bimota di mata dunia. Dengan pengalaman daripada para krew Kawasaki serta sokongan penuh oleh Kawasaki Motors, Ltd di Jepun membuatkan kami berasa sangat bangga. Semangat dalam kejayaan perlumbaan kekal dan kami nantikan kehadiran Bimota By Kawasaki di WorldSBK 2025,” kata Ketua Pegawai Operasi Bimota, Pierluigi Marconi.
“Selama tiga belas tahun saya dan semua yang ada di KRT di Granollers dapat mendedikasikan diri dalam projek Kawasaki Superbike dengan memperolehi tujuh gelaran pelumba WorldSBK dan anugerah pengilang. Selepas hampir empat dekat, kami amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada era baharu dalam membentuk infrastruktur Bimota oleh Kawasaki Racing Team,” kata Pengurus Pasukan Kawasaki Racing Team, Guim Roda.

Antara pencapaian Bimota, Jon Ekerold merupakan pemenang Kejuaraan Dunia 350cc pada tahun 1980 dengan menunggang jentera dua lejang, dua silinder iaitu Bimota YB3. Kejayaan turut dicapai oleh pelumba lagenda Virgino Ferrari yang menunggang Bimota YB4R dalam merangkul anugerah di TT Formula 1 1987. Bimota juga berjaya mencatatkan tujuh kemenangan musim pertama WSBK pada tahun 1988 menerusi pelumba Davide Tardozzi (lima kali) dan Stephane Mertens (dua kali). Manakala kemenangan terakhir adalah pada tahun 2000 oleh mendiang Anthony Gobert. RR