Isu Terkini

Julai 2024

Dari Litar / 10 Disember 2019

Vinales Juara Di Litar Sepang

Perlumbaan pada kali ini telah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Ribuan para pengunjung yang hadir telah dikejutkan dengan pelumba muda dari pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Fabio Quatararo. Beliau yang mengungguli di pusingan kelayakan telah mempamerkan prestasi dan tunggangan cukup hebat sekali dan berjaya mencipta rekod terpantas dengan catatan masa 1’58.303s diikuti dengan Maverick Vinales (1’58.406) dan Franco Morbidelli (1’58.432).

Pada hari perlumbaan sebenar, Quartararo telah memulakan perlumbaan di petak pertama. Namun beliau telah melakukan kesilapan kecil pada permulaan dan telah membuka peluang buat pelumba Yamaha, Maverick Vinales yang bermula di petak kedua menggunakan segala kelebihannya untuk memimpin perlumbaan dari awal pusingan sehingga tamat. Beraksi di hadapan puluhan ribu penonton, beliau langsung tidak diberikan saingan dari pelumba-pelumba lain dan hanya diekori oleh Marc Marquez.

Sementara itu, pelumba pasukan Honda Repsol, Marc Marquez memulakan perlumbaan di petak 11 kerana telah terlibat dalam kemalangan di sesi ujian masa. Apa yang mengagumkan, beliau tetap berusaha untuk berada di kelompok hadapan. Dengan memiliki kecekapan tunggangan yang cemerlang, Marquez berjaya mencari ruang untuk memintas pelumba-pelumba lain dan berada di kedudukan keempat di selekoh pertama, mengekori rapat pelumba jentera Ducati, Jack Miller dan Andrea Dovizioso. Marquez mencuri ruang di selekoh terakhir dan berjaya memintas kedua-dua pelumba tersebut namun dipintas semula oleh Miller. Akhirnya Jack Miller terpaksa menyerahkan kedudukannya kepada Marquez yang berjaya memintasnya sekali lagi pada lap ketiga.

Selepas berjaya berada di belakang Vinales, juara dunia tersebut tetap bertungkus lumus mengerahkan jentera RC213Vnya untuk mengatasi pelumba Yamaha tersebut. Namun tampak sukar untuk berada di tempat pertama. Kedudukan kekal sehingga tamat di mana Vinales berjaya meraih podium pertama buat kali kedua dalam musim ini dengan catatan masa keseluruhan 40’14.632s diikuti Marquez (40’17.691s) di tempat kedua.

Paling menarik, perlumbaan lebih tertumpu di antara Valentino Rossi dan Andrea Dovizioso. Rossi yang menunggang jentera M1nya mencari rentak untuk mengikut rapat di belakang Dovizioso. Kedua-dua pelumba tersebut saling pintas memintas. Rossi terus menunjukkan kesungguhannya bersaing. Namun, harapan beliau untuk berada di tempat ketiga gagal kerana diberi tentangan cukup hebat oleh pelumba dari pasukan Ducati itu.

Sementara itu, pelumba Suzuki telah memberi keyakinan buat pasukannya dengan mempamerkan aksi yang cukup cemerlang dalam perlumbaan kali ini. Alex Rins berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa 40’20.982. Dalam perlumbaan itu juga turut menyaksikan tiga pelumba, Johann Zarco, Carl Crutchlow dan Andrea Iannone gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabas di tengah saingan.

Suasana di SIC sekali lagi bergema dengan sorakan daripada para penonton yang menjerit nama Hafizh Syahrin. Pelumba dari pasukan Tech3 Red Bull KTM itu menamatkan cabaran di kedudukan ke 16 dan ini merupakan aksi terakhirnya di litar Antarabangsa Sepang dalam kelas premium. Dikhabarkan Hafizh akan bersaing dalam kelas Moto2 bersama pasukan Angel Nieto pada musim hadapan.

Moto2
Tahniah buat pelumba pasukan EG 0,0 Marc VDS, Alex Marquez yang dinobatkan sebagai juara dunia dalam saingan Moto2 bagi musim 2019 dengan kutipan mata sebanyak 262 mata. Alex Marquez yang bermula di petak pertama telah diberi tentangan hebat dan ketinggalan 0.758s di belakang pelumba pasukan Red Bull KTM, Brand Brinder yang muncul juara dalam saingan di litar SIC dengan catatan masa 38’07.843s. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Thomas Luthi.

Kedudukan kedua sudah memadai untuk Alex muncul juara dunia seperti abangnya, Marc Marquez yang telah diumumkan sebagai juara keseluruhan kelas premium dalam pusingan ke-15 di litar Chang International Circuit, Thailand.

Sayang sekali buat pelumba negara, Adam Norrodin dari pasukan PETRONAS Yamaha SRT gagal meraih sebarang mata di laman sendiri akibat gagal menamatkan perlumbaan.

Moto3
Tahniah juga buat juara dunia Moto3, Lorenzo Dalla Porta berjaya meraih podium di tempat pertama dengan kutipan masa keseluruhan 38’01.355. Walaupun bermula di petak ketujuh, Dalla Porta menggunakan kemahiran dan ketangkasannya untuk memintas seorang demi seorang seterusnya mengejar kelompok di hadapan. Usaha beliau akhirnya berjaya menewaskan para pelumba lain bagi menjadi juara sambil diikuti oleh Sergio Garcia dari pasukan Estrella Galicia 0,0 yang hanya ketinggalan 0.410s di belakang Dalla Porta dan Jaume Masia (Mugen Race) di tempat ketiga dengan masa terpantas 38’02.158s.
 
Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, John McPhee berjaya menunjukkan prestasi cemerlang setelah menamatkan cabaran di tempat ketujuh. Manakala buat rakan pasukannya, Ayumu Sasaki tidak berjaya menamatkan perlumbaan akibat terjatuh dengan berbaki 9 lap lagi.

Berita Terkini: Marc Marquez sekali lagi mempamerkan kehebatannya di perlumbaan akhir yang berlangsung di litar Comunitat Valenciana, Valencia pada 17 November lalu untuk muncul
juara dengan menewaskan Fabio Quartararo di tempat kedua manakala Jack Miller di tempat ketiga.

Perlumbaan di Valencia juga merupakan aksi terakhir buat pelumba pasukan Repsol Honda, Jorge Lorenzo yang telah membuat keputusan untuk bersara. Bekas juara lima kali ini telah mendapat penghormatan daripada puluhan ribu penonton yang hadir pada hari tersebut. RR

Kemeriahan perlumbaan Malaysia Motorcycles Grand Prix 2019 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 1 hingga 3 November 2019 telah memberikan keterujaan buat para pengunjung yang hadir dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan perlumbaan tersohor itu. Turut meraikan kemeriahan acara penuh gilang gemilang itu ialah para pengeluar motosikal dan produk barangan di Malaysia. Ini juga merupakan kesempatan untuk mereka mendekati para pelanggan dengan mengadakan pelbagai promosi yang cukup menarik.

Selama tiga hari penganjuran, pihak SIC berjaya merekodkan kunjungan seramai 170,778 orang yang membanjiri litar Antarabangsa Sepang. Tahniah buat SIC!

PETRONAS merupakan antara tapak promosi yang cukup gah di ruang promosi, hadir mengujakan para pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik seperti PETRONAS Sprinta VR Challenge, Energy Race dan banyak lagi. Antara tarikan utama adalah pameran jentera pasukan PETRONAS Yamaha SRT yang digunakan oleh Fabio Quatararo dalam perlumbaan MotoGP. Para pengunjung tidak ketinggalan memenuhi ruang jualan untuk membeli baju-T Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli dengan harga promosi yang cukup hebat. Para tetamu turut disediakan ruangan bersantai sambil menikmati alunan muzik dan disegarkan pula dengan penghawa dingin yang amat diperlukan ketika di hari yang panas.

Beberapa hari sebelum perlumbaan, PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia (PLMM) telah mempertontonkan minyak enjin motosikal Petronas Sprinta dengan teknologi UltraFlexTM. Minyak enjin baru ini didatangkan dengan dua pilihan iaitu F900 10W-50 dan 10W-40 untuk sintetik penuh yang dijual pada harga RM67, manakala F700 15W50 dan SEA 10W-40 merupakan separa sintetik yang berharga RM35.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut hadir dengan ruang pameran yang cukup mengagumkan dengan membarisi pelbagai model jentera Yamaha seperti MT-09, Y15ZR, Niken, Tenere 700 yang disusun kemas. Terdapat juga jentera perlumbaan milik Valentino Rossi yang tersergam di tapak promosi Yamaha di mana para pengunjung boleh bergambar kenangan dengan jentera tersebut. Para pengunjung juga berpeluang untuk bermain permainan video simulator MotoGP, membeli barangan menarik seperti baju-T, topi, baju kemeja, payung dan beg.

Seperti tahun lalu, HLYM dengan kerjasama PETRONAS elah menganjurkan satu konvoi mega ke litar SIC yang disertai lebih daripada 1,100 pemilik jentera Yamaha. Konvoi bermula di TSI Sport Arena, Cyberjaya yang diiringi oleh pihak polis dan kumpulan krew marshal dari HLYM. Majlis pelepasan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan HLYM, Dato' Jim Khor, Presiden/ CEO Yamaha Motor Company Ltd, En. Yoshihiro Hidaka dan Pengarah Urusan/ CEO, PETRONAS Dagangan Berhad, Dato Seri Syed Zainal Abidin Syed Tahir.

Ruang pameran Honda dipadatkan dengan kehadiran para pengunjung untuk pelbagai tujuan tertentu. Ada yang ingin bergambar, melakukan aktiviti menarik dan ada juga mencuba permainan interactive wall. Para tetamu juga boleh melihat pelbagai jenis jentera Honda antaranya, X-ADV, Africa Twin, CBR 500 R, CBR 650 R, CBR 1000 RR dan CB500F. Selain itu, ruang tengah khemah dihias dengan jentera perlumbaan Honda yang beraksi dalam MotoGP, Moto2, Moto3, Asian Cup dan ARRC.

Tapak promosi Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd megah dengan membarisi jentera-jentera berkuasa tinggi. Para pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat model-model terkini seperti H2 SX SE, ZX-10RR, ZX-10R,Versys X 250, Z900, Z250, Z 125 Pro, Versys 1000 GT dan Vulcan Classic. Terdapat juga pelbagai jenis baju T, kemeja dan jaket yang boleh dimiliki dengan harga berpatutan. Pada hari perlumbaan, KMSB turut melancarkan dua minyak pelincir baru yang berkualiti tinggi iaitu KOG Torq R7 dan R9 yang dijual pada harga berpatutan.

Suasana Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya dimeriahkan dengan deruman enjin jentera-jentera Kawasaki. Konvoi MotoGP anjuran KMSB berjaya mengumpulkan sebanyak 200 orang peserta. Lebih mengujakan lagi apabila kehadiran Pengurus Besar dan Pengarah KMSB Dato’ Jeffrey Lim yang ternyata menyerikan lagi acara pada hari tersebut.

Ruang pameran Benelli juga menambat hati ramai pencinta dua roda dari dalam dan luar negara. Benelli Malaysia telah melancarkan sebuah model klasik iaitu Benelli Imperiale 400 yang terus menarik perhatian ramai ditambah pula dengan adanya gadis-gadis jelita. Setiap ruang juga telah dihiasi dengan model-model terkini seperti RFS 150i, VZ125i, 150S, TRK 502, Leoncino 500, Leoncino 250, TNT 600, TNT 135 dan 502C. Di luar khemah promosi telah diserikan dengan dua buah model custom RFS150i.

BMW Motorrad Malaysia tidak melepaskan peluang dengan perkenalan tiga model berprestasi tinggi iaitu S 1000 R, R 1250 R dan R 1250 RS. Dengan adanya ketiga-tiga model ini, para pengunjung berpusu-pusu membanjiri ruang pameran BMW untuk melihat dan bergambar kenangan. Selain itu, pelbagai jenis model BMW turut disusun dengan kemas yang terdiri daripada R-nine T, S 1000 XR, GS, GS Adventure, G 300 R, S 1000 R dan pelbagai lagi.

Terima Kasih buat Suzuki Malaysia kerana telah memberi peluang buat RR untuk menikmati sesi makan tengah hari dan lawatan ke paddock pasukan Suzuki. RR dapat melihat lebih dekat suasana sebenar persiapan pasukan dalam perlumbaan sebenar serta jentera-jentera Suzuki yang digunakan oleh Alex Rins dan Joan Mir. Kecekapan para krew Suzuki Ecster dalam penyediaan jentera MotoGP buat para pelumba sememangnya sangat mengagumkan.

Sehari sebelum perlumbaan, penampilan dua pelumba Suzuki telah menggamitkan suasana di dalam ruang promosi Suzuki. Para peminat MotoGP sanggup berbaris selama sejam untuk mendapatkan tandatangan dan bergambar bersama pelumba kegemaran mereka. Manakala tapak promosi dimeriahkan dengan pameran jenterajentera Suzuki seperti SV 650 X ABS, GSX-750, GS-X R 1000R, Katana, V-Strom 650 dan ruangan pembelian baju, topi, keychain dan banyak lagi.

Sepanjang tiga hari acara MotoGP, LS2 Helmet telah mengadakan promosi jualan yang cukup menarik buat para pencinta dua roda. Pelbagai jenis topi keledar dengan rekacorak menarik dan model baru yang boleh didapati. Kualiti pembuatan yang tinggi terbukti kerana jenama topi keledar ini juga turut digunakan oleh pelumba bertaraf dunia seperti Hector Barbera, Loris Baz, Isaac Vinales dan ramai lagi.

Pengeluar barangan akesori motosikal terkemuka di dunia, GIVI hadir dengan ruang promosi cukup menarik. Ribuan para hadirin tidak melepaskan peluang untuk melihat dan membeli barangan aksesori seperti kotak barang, topi keledar, glove, baju hujan, beg, baju-T dan macammacam lagi.


Pada hari perlumbaan, GIVI turut menganjurkan satu konvoi istimewa MotoGP buat para pelanggan yang membeli kotak barangan B360 Limited Edition. Konvoi dengan tema kotak barangan B360 itu disertai oleh 70 buah jentera yang telah dimulakan dari kilang GIVI di Bukit Beruntung. Konvoi bersejarah itu telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan GIVI Asia, Mr. On Hai Swee bersama Mr. On Thiam Chai.

Antara para pengeluar lain yang memeriahkan 'Pesta MotoGP 2019' ialah Aprilia, Triumph, Zontes, KTM, Adiva dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, banyak lagi ruang pameran yang menawarkan pelbagai jenis produk dan kesemuanya mendapat sambutan menggalakkan. RR

Isu Pada

Disember 2019

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.