Fabio Quartararo Sambung Kontrak, Lin Jarvis Pula Bakal Tinggalkan Yamaha
Yamaha Motor Co., Ltd mengesahkan jaguh pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo telah bersetuju untuk menyambung kontrak sebagai pelumba pasukan utama 'factory' untuk musim MotoGP 2025 dan 2026.
Keputusan Fabio untuk kekal bersama 'Blue Team' dibuat berdasarkan komitmen tinggi Yamaha pada usaha pembangunan jentera YZR-M1. Kombinasi Quartararo-Yamaha cukup tepat dan sempurna. Ini dibuktikan dengan kejayaan Fabio Quartararo meraih gelaran juara keseluruhan MotoGP pada tahun 2021 (tahun pertamanya bersama pasukan 'factory') dan Naib Juara MotoGP pada tahun 2022.
Gabungan di antara Yamaha dan pelumba dari Perancis ini telah memberikan 8 kemenangan + 21 Podium sejak 2021-hingga kini manakala ketika bersama pasukan satelit, Quartararo telah berjaya memenangi 3 x perlumbaan + 10 podium. Sehingga kini, Quartararo telah berjaya bermula di barisan paling hadapan sebanyak 41 kali dari 93 pusingan perlumbaan MotoGP.
Namun begitu, kegembiraan pasukan Yamaha 'terganggu' apabila Boss pasukan Yamaha MotoGP iaitu Lim Jarvis menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing pada penghujung musim ini.
Jarvis, 66 tahun telah mengendalikan pasukan Yamaha sejak 26 tahun lalu, mengembalikan semula prestasi pasukan tersebut pada pertengahan tahun 2000 dengan meyakinkan Valentino Rossi untuk menyertainya.
Valentino Rossi menjulang gelaran Juara MotoGP pada 2004, 2005, 2008 dan 2009. Empat daripada lapan kejayaan pertama Yamaha di bawah Jarvis. Selepas itu, Jorge Lorenzo membawa pulang mahkota Juara MotoGP semula ke khemah pasukan Yamaha pada 2010, 2012 dan 2015, manakala Fabio Quartararo melakukannya pada tahun 2021.
"Saya memulakan pasukan 'factory pada 1999 dan ia adalah satu tempoh masa yang luar biasa. Saya berumur 66 tahun dan sudah mula penat untuk mengembara. Saya telah menyempurnakan tugas ini selama 26 tahun, dan agak luar biasa bagi sesorang individu untuk mengetuai projek, di kilang untuk tempoh yang begitu lama. Masanya telah tiba untuk saya lakukan sesuatu yang baru," Lin Jarvis.
Jarvis juga berkongsi bahawa Yamaha sudah mengenal pasti siapakah penggantinya dan akan mengambil alih pada bulan Januari nanti. Bagaimanapun, dia enggan berkongsi maklumat lanjut mengenai ketua pasukan baru itu. RR