Ducati Corse Umumkan Persetujuan Kontrak 2 Tahun Dengan Fermín Aldeguer
Ducati Corse telah mengumumkan persetujuan kontrak MotoGP bersama Fermín Aldeguer, seorang pelumba dari Sepanyol itu kini akan menyempurnakan satu lagi musim dalam saingan Moto2 sebelum menyertai kelas prima (MotoGP) pada 2025.
Fermín akan menunggang jentera GP Desmosedici untuk dua tahun akan datang, dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak untuk satu lagi dua tahun. Fermin, berusia 18 tahun yang berasal dari La Ñora (Murcia, Sepanyol), membuat penampilan sulungnya dalam Kejuaraan MotoGP Sedunia pada 2021 dalam kategori Moto2 (tanpa perlu bermula dari Moto3). Dalam perlumbaan sulungnya, Fermín Aldeguer menamatkan perlumbaan ketujuh dalam perlumbaan sulungnya di Mugello (GP Itali).
Pada 2022, Fermín melengkapkan keseluruhan musim pertamanya, dan dalam saingan tahun 2023, dia meraih kemenangan sulungnya dan memperoleh tempat ketiga keseluruhan dengan lima kemenangan (empat kemenangan berturut-turut dalam empat perlumbaan terakhir), tujuh podium, dan tiga kedudukan pole position. Tahun ini, Fermín Aldeguer terus mengukuhkan dirinya sebagai salah satu pesaing utama dalam saingan Moto2 dan dalam pusingan pembuka tirai di Litar Qatar, Fermín Aldeguer menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.
Walaupun tidak ada kenyataan rasmi pasukan mana yang bakal Fermin sertai tetapi berdasarkan komen yang dikeluarkan oleh Pengurus Prima Pramac Racing, Gino Borsoi tentang keputusan untuk tidak lagi bersama Jorge Martin maka kekosongan itu berkemungkinan besar menjadi milik Fermin. RR