ARRC 2024 (Litar Buriram): Azlan Shah...Hafizh Syahrin...Pamer Tunggangan Bertenaga!
Saingan Kejuaraan FIM Asia Road Racing pusingan pertama yang berlangsung di Litar Buriram Sabtu & Ahad lalu telah mempamerkan tunggangan penuh bertenaga oleh para pelumba negara. Tiga rider 'otai' Malaysia iaitu Azlan Shah Kamaruzaman, Md Zaqhwan Zaidi dan Hafizh Syahrin Abdulllah sememangnya memiliki rentak dan semangat juang yang cukup tinggi.
Dalam Perlumbaan 1, kemunculan semula Hafizh Syahrin sangat ditunggu-tunggu tetapi sayangnya apabila jenteranya menghadapi masalah teknikal yang menyebabkan pasukan JDt Racing terpaksa bersara lebih awal.
Dalam lap ke-4, Azlan mula menyerang para pelumba di depan yang terdiri daripada Nakarin Atiratphuvapat, Andi Farid Izdihar dan Yuki Kuni. Perebutan tempat pertama di antara Azlan dan Ardi, pelumba dari Indonesia itu memang cukup sengit sehinggalah Azlan berjaya memintas dari dalam pada selekoh terakhir untuk menerima kibaran bendera penamat sebagai juara.
Zaqhwan yang berada kira-kira 3 saat di belakang Andi turut berjaya ke podium sebagai pemenang ketiga diikuti oleh Yuki Nakarin masing-masing di tempat keempat dan kelima.
Perlumbaan kedua pula menyaksikan kebangkitan semula Hafizh Syahrin menebus kekecewaan dalam saingan pembuka tirai. Walaupun jentera Ducati Panigale V4R milik Hafizh masing baru, masih dalam fasa pembangunan, dia tetap cuba untuk memberi cabaran.
Akhirnya, saingan kedua kelas ASB1000 ini telah dimenangi oleh Andi Farid dengan catatan masa 20:49.192s diikuti Hafizh yang hanya 0.771s di belakang, seiring dengan Nakarin yang hampir-hampir berjaya memintas. Azlan tamat di tempat kelima, Zaqhwan keenam manakala dua lagi pelumba negara iaitu Kasma Daniel dan Teo Yew Joe masing-masing di tempat ke-10 dan ke-13. RR
Kedudukan Keseluruhan Para Pelumba
- Andi Farid Izdihar 45 mata
- Azlan Shah Kamaruzaman 36 mata
- Nakarin Atiratphuvapat 27 mata
- Md Zaqhwan Zaidi 26 mata
- Yuki Kuni 26 mata