MotoGP 2024 (Litar Lusail, Qatar): Francesco Bagnaia Cipta Kemenangan Pertama Musim Ini
Selamat kembali ke MotoGP.... dan pusingan pembukaan di Grand Prix Qatar Airways Qatar mempersembahkan pertarungan yang cukup mendebarkan. Juara bertahan, Francesco Bagnaia atau Pecco (Pasukan Lenovo Ducati) membuktikan kecemerlangannya untuk bangkit daripada kekecewaan di perlumbaan Tissot Sprint untuk menjulang kemenangan sulungnya musim ini.
Info: Dalam perlumbaan Tissot Sprint, Pecco telah ditewaskan oleh Jorge Martin, Brad Binder dan Aleix Espargaro yang memiliki rentak lebih padu.
Sebaik sahaja lampu merah dipadamkan, Martin yang berada di petak pertama melakukan 'holeshot' untuk memimpin perlumbaan. Di belakangnya, Pecco berjaya memintas Binder dari dalam untuk tempat kedua dan tidak lama kemudian, Martin pula menjadi mangsa juara bertahan itu.
Turut mencuri tumpuan ialah Marc Marquez yang bersaing buat pertama kalinya dengan jentera Ducati dan pelumba rookie, Pedro Acosta yang mendapat pujian ramai. Pedro berjaya memintas beberapa pelumba senior termasuk pasangan adik beradik Marc dan Alex Marquez sehingga dapat berada di tempat keempat untuk seketika. Walaupun Pedro akhirnya tamat di tempat kesembilan, anak muda ini telah berjaya mencipta rekod lap terpantas, 1'52.657 saat.
Kedudukan Pecco di depan gagal dicabar oleh para pelumba lain walaupun telah cuba merapatkan diri. Brad Binder dapat mengekalkan rentaknya untuk meraih keputusan di tempat kedua selepas berhempas pulas menahan segala tekanan daripada Martin dari awal hingga akhir. Martin yang juga pemenang saingan Sprint terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Tahniah buat Marquez yang melintasi garisan penamat di tempat keempat (satu pencapaian sangat baik) diikuti Enea Bastianini dan adiknya Alex.
Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) tamat di tempat ke-11 (di belakang Maverick Vinales) manakala Johan Zarco (LCR Honda) dan Joan Mir (Repsol Honda) masing-masing di tempat ke-11 dan ke-12. RR