Qabil Irfan Bakal Wakili Negara Dalam Spanish Superbike Championship (ESBK)
Qabil Irfan, Juara FIM MiniGP Dunia Tahun 2023, bakal menyertai Kejuaraan Spanish Superbike (ESBK) dalam kategori Moto4 bersama pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing untuk musim penuh tahun 2024.
Kategori Moto4 ini merangkumi pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dan akan bersaing di litar-litar di Sepanyol dan Portugal. Moto4 adalah motosikal Fullframe yang bersesaran 150cc dengan rim 17-inci.
Qabil akan berlepas ke Sepanyol pada Ahad ini (10 Mac) bersama ayahnya, Azlan untuk mengikuti ujian pra-musim pada 16 & 17 Mac di Litar Jerez dan akan kekal di sana sehingga Pusingan Pertama di Circuito de Jerez pada 6 & 7 April. Kejuaraan ESBK akan diadakan sebanyak 7 pusingan.
Pada masa yang sama, Qabil juga akan turut serta dalam FIM MiniGP Malaysia Series kategori 190cc pada tahun ini.
"Penyertaan Qabil dalam ESBK tahun ini merupakan satu inisiatif baru yang kami ambil untuk memperluaskan lagi karier Qabil. Selepas kejayaannya dalam Kejohanan FIM MiniGP Siri Malaysia dan juga World Finals, kami melihat bahawa pada usia 12 tahun ini, Qabil sudah bersedia untuk mengambil cabaran dalam kategori Moto4 di litar-litar Eropah. Ini memberikan peluang baginya untuk mendapatkan pengalaman awal dalam suasana serta persaingan dunia dua roda di Eropah," komen Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin. RR
Berikut adalah Jadual ESBK Tahun 2024:
- Ujian Pra-Musim | 16 & 17 Mac | Litar Jerez, Sepanyol
- Pusingan 1 | 6 & 7 April | Litar Jerez, Sepanyol
- Pusingan 2 | 1 & 2 Jun | Litar Valencia, Sepanyol
- Pusingan 3 | 6 & 7 Julai | Litar Estoril, Portugal
- Pusingan 4 | 27 & 28 Julai | Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol
- Pusingan 5 | 31 Ogos & 1 September | Litar Estoril, Portugal
- Pusingan 6 | 26 & 27 Oktober | Litar Navarra, Sepanyol
- Pusingan 7 | 2 & 3 November | Litar Jerez, Sepanyol