Ducati Corse dan Francesco Bagnaia Sambung Kontrak Untuk 2 Musim Lagi
Tinggal beberapa hari sebelum bermulanya Kejuaraan MotoGP Sedunia 2024. Ducati Corse dan Francesco Bagnaia terus mengukuhkan masa depan untuk kedua-dua pihak dengan melakarkan persetujuan di atas kertas, menandatangani perjanjian Juara Dunia MotoGP dua kali itu dengan pengeluar Borgo Panigale untuk 2025 dan 2026.
Pembaharuan kontrak tersebut bagi memastikan kesinambungan gabungan hebat jentera dan pelumba dari Itali yang merangkumi bakat, semangat, teknologi dan keazaman Francesco Bagnaia berpadanan prestasi Desmosedici GP.
Jaguh dunia yang juga dikenali dengan nama 'Pecco' dilahirkan di Turin pada 1997 dan menetap di Pesaro. Pecco menyertai Ducati dengan Pramac Racing pada tahun 2019. Dengan lanjutan kontrak semasanya, dia akan mengukuhkan lagi kedudukannya dalam sejarah pengeluar Borgo Panigale itu. Bagnaia mencipta sejarah khusus buat dirinya pada 2020 dengan memperoleh podium MotoGP pertamanya di perlumbaan 'laman sendiri' di Misano Adriatico, dan pada 2021, dia diserapkan dalam pasukan 'Factory'.
Semasa tahun pertamanya menunggang jentera Ducati Lenovo Team, dia sudah hampir untuk bergelar juara tetapi terpaksa bersabar apabila menamatkan saingan sebagai Naib Juara. Tahun 2022 adalah kemuncak impian pelumba muda ini apabila merangkul Gelaran Dunia MotoGP pertamanya. Lebih istimewa, Pecco merupakan pelumba Itali pertama yang meraih kejayaan itu dengan motosikal Itali, Ducati Desmosedici GP.
Kemenangan ini adalah Gelaran Dunia kedua Ducati, selepas Casey Stoner turut menjulang gelaran itu pada 2007, 15 tahun sebelumnya. Dengan nombor 1 pada fairing hadapan motosikalnya, Bagnaia sekali lagi dinobatkan sebagai Juara Dunia pada tahun 2023, dengan prestasi luar biasa 15 podium, 7 kemenangan dan 7 petak pertama.
Untuk tahun ini, Pecco sudah memecahkan rekod kelajuan (catatan masa satu lap) di Litar Antarabangsa Sepang dan Litar Lusail, Qatar. Ini juga merupakan amaran awal darinya buat para pesaingan MotoGP musim ini. RR