FIM SuperEnduro World Championship: Billy Bolt Raih Gelaran Juara Dunia Buat Kali Ke-4
Billy Bolt dari Husqvarna Factory Racing sekali lagi membuktikan kecemerlangannya pada Kejohanan Dunia SuperEnduro FIM 2024 dengan meraih gelaran dunia buat kali keempat berturut-turut. Kejayaan penuh sejarah itu dikecapinya 'di rumah sendiri' iaitu di Newcastle, United Kingdom.
Pelumba dari Britain itu hadir memberi cabaran dalam Pusingan Ketujuh dan juga pentas terakhir dengan kelebihan 59 mata. Dengan semangat yang jitu, Billy berjaya mendominasi saingan SuperPole dan mengerahkan seluruh tenaga Husqvarna FE 350 miliknya itu untuk melengkapkan saingan akhir dengan penuh keyakinan.
Dalam Perlumbaan 1, Billy melakukan 'holeshot' untuk memimpin saingan. Namun begitu, kesilapan kecil yang dilakukannya menyebabkan dia ketinggalan di tempat kedua tetapi Billy segera membetulkan keadaan untuk berada di depan semula. Setiap tekanan dihadapi dengan tenang sehingga tidak ada lagi pelumba yang merapatinya lagi. Billy menang Perlumbaan 1 dengan perbezaan jarak sejauh 12 saat.
Perlumbaan 2: Billy bermula dari barisan kedua grid tetapi ia langsung tidak memperlahankan serangannya. Setiap ruang digunakan sebaiknya untuk 'melompat' ke posisi lebih baik. Lap pertama sahaja dia telah berjaya berada di posisi ke-7 dan tidak lama kemudian berjaya memintas empat pelumba lagi untuk mencabar kumpulan utama.
Berbaki tiga minit lagi, Billy telah kembali mendapat rentak jenteranya untuk posisi kedua dan terus memberi tekanan kepada Jonny Walker. Walaupun trek yang semakin licin, Billy berjaya mengatasi Walker dan bertahan sehingga di garisan penamat.
Seterusnya, Billy melakukan holeshot untuk Perlumbaan Ketiga dan memberi tumpuan sepenuhnya bagi mencipta kemenangan hatrik. Dia semakin laju sehingga membuka jurang sejauh tujuh saat berbanding Manuel Lettenbichler di tempat kedua. Bagaimanapun Billy merempuh laluan berbatu dan ketika itu Lettenbichler merapatkan diri. Dengan pantas, Billy bangkit semula dan mara ke hadapan untuk meraih kemenangan perlumbaan ketiganya pada malam itu.
Mencipta tiga kemenangan termasuk saingan SuperPole, bintang pasukan Husqvarna Factory Racing itu berjaya menakluki litar Newcastle dengan penuh bergaya. RR