Cub Prix 2024: Saingan CP125 Kembali Dengan Aksi yang Lebih Mantap
Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan membuka tirainya di Bandar Jasin Bestari, Melaka pada hujung minggu ini. Cabaran saingan kategori CP125 akan diteruskan dengan barisan pelumba lama dan baru yang akan mempamerkan kehebatan tunggangan mereka demi meraih gelaran juara.
Pada musim lepas, kategori ini telah menyaksikan Md Khairi Ashraf dan Md Shafiq Ezzariq, dua pelumba sepasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team yang bersaing rapat untuk menyahut gelaran juara. Sepanjang sepuluh pusingan, kedua-dua pelumba tersebut telah memaparkan prestasi yang konsisten walaupun dicabar oleh pelumba-pelumba lain yang tidak kurang hebatnya. Khairi menamatkan musim tersebut sebagai Juara Keseluruhan dengan jumlah sebanyak 167 mata manakala Shafiq meraih tempat kedua dengan jumlah sebanyak 150 mata.
Menurut Khairi, “Persiapan saya untuk pusingan akan datang dengan memberi tumpuan kepada persediaan dan latihan fizikal. Saya banyakkan latihan kecergasan supaya badan saya lebih kuat khususnya untuk cabaran litar yang teknikal. Dari segi persiapan jentera pula, banyak yang telah berubah kerana pasukan sentiasa mencari kelebihan berbanding sebelum ini. Pada musim lepas, walaupun saya dapat mengekalkan kedudukan saya, namun saya sedar disebabkan kekurangan latihan fizikah telah menyebabkan saya banyak buat kesilapan. Oleh itu, musim ini, saya tingkatkan latihan supaya dapat mengatasi kesilapan tersebut. Pesaing saya ramai kerana pelumba-pelumba kategori ini agak hebat dan kompetitif. Tetapi, saya akan cuba yang terbaik untuk membaiki cara tunggangan saya dan mengelak kesilapan supaya dapat bersaing dengan lebih baik."
Shafiq berkata, “Untuk pusingan pertama, saya sudah bersedia dari segi mental untuk cabaran yang akan datang. Saya memang akan cuba sedaya upaya untuk menjadi juara keseluruhan pada musim ini memandangkan musim lepas, saya hanya berjaya mendapat naib johan. Dari segi fizikal, saya konsisten dalam membina stamina. Saya banyakkan masa di gym dan fokus untuk meningkatkan kecergasan fizikal saya. Musim ini, kami juga ada penaja baharu. Oleh itu, mungkin ada sedikit keistimewaan. Pada musim lepas, saya banyak melakukan kesilapan, maka pada musim ini, saya perlu kurangkan kesilapan di mana boleh. Saya juga perlu lebih konsisten dengan aksi dan pencapaian saya. Paling penting, saya perlu keluar daripada zon selesa saya dan bersaing dengan lebih kompetitif." RR