WorldSBK 2024: Alex Lowes Beri Kejutan Dengan Tunggangan penuh Tenaga!
Mungkin ramai yang menjangka atau mengharap bahawa perlumbaan pusingan pertama WorldSBK 2024 yang diadakan di litar Phillip Island akan mempamerkan saingan hebat tiga penjuru daripada Toprak Razgatlioglu, Jonathan Rea & Alvaro Bautista. Namun begitu, apa yang berlaku memang adalah yang sebaliknya...itulah lumrah dunia perlumbaan.
Wakil 'rumah hijau' Alex Lowes mempamerkan tunggangan penuh tenaga untuk meraih dua kemenangan iaitu dalam saingan Superpole dan Perlumbaan 2. Pelumba Aruba.it Racing, Nicolo Bulega terlebih dahulu mencipta kenangan manis buat dirinya dan pasukan apabila menduduki tempat pertama dalam Perlumbaan 1. Bermula dari kedudukan petak pertama, ia adalah perlumbaan yang sukar buat pelumba bernombor #11 selepas ketinggalan di peringkat awal tetapi terus berjuang untuk meraih kemenangan sulung.
Saingan tersebut turut menampilkan bekas pelumba MotoGP, Andrea Iannone yang berjaya mengembalikan keyakinan untuk melintasi garisan penamat di belakang Andrea Locatelli sebagai pemenang tempat ketiga.
Perlumbaan 2 terpaksa dihentikan 'Red Flag' selepas Jonathan Rea (Pata Prometeon Yamaha) terbabas dan tersingkir daripada persaingan. Juara enam kali itu telah dibawa ke Pusat Perubatan Litar Grand Prix Phillip Island dan diisytiharkan tidak sihat sepenuhnya. Pada minggu pembukaan ini, Rea sekurang-kurangnya telah terlibat dengan kemalangan sudah dua kali.
Langkah Lowes mula nampak selesa apabila dia telah memanfaatkan sepenuhnya kedudukan di depan untuk kekal dalam perebutan podium. Alex kemudian menetapkan rentaknya sendiri untuk mendapatkan kedudukan selesa seterusnya mengawal perlumbaan dalam lap-lap terakhir. Ia merupakan kemenangan pertama Alex bersama Kawasaki sejak dia mula menyertai KRT pada 2020.
Locatelli mungkin antara pelumba paling rapat mengejarnya sejak dari mula lagi. Selepas tamat di tempat kedua di Perlumbaan 1 dan 2, Locatelli ternyata semakin berkeyakinan untuk mendapatkan podium ketiga tetapi sayangnya dia gagal berbuat demikian apabila hanya kekal di litar sehingga lap ke-10 sahaja.
Pada masa yang sama, ujian terpaksa diterima oleh pelumba harapan BMW, Toprak Razgatlioglu apabila jenteranya mengalami masalah enjin dalam Perlumbaan 2. Sebelum itu, Toprak telah memberikan keterujaan buat pasukan dan peminat apabila menghabiskan cabaran di antara 5 pelumba terbaik. Toprak kemudiannya menghadiahkan podium pertama buat BMW musim ini tetapi sayangnya Perlumbaan 2 tidak membawa kejayaan yang sama kerana dia mengalami masalah enjin pada Lap 3 apabila kelihatan jentera BMW M 1000 RR miliknya berhenti dalam kepulan asap yang besar.
Pelumba negara, Adam Norrodin juga telah menyempurnakan saingan di Litar Australia dengan penuh semangat. Permulaan musim baru sememangnya agak sukar bagi Adam, ia adalah detik pembelajaran yang cukup penting dalam kariernya.
Keputusan Adam Norrodin: Perlumbaan 1 (tempat ke-20), Superpole (tempat ke-20) & Perlumbaan 2 (tempat ke-19). RR