Pasukan Repsol Honda 2024 tampil dengan rekacorak baru!
Sempena meraikan kolaborasi yang kini berusia 30 tahun di antara Honda HRC dan Repsol, pelumba MotoGP Joan Mir dan Luca Marini telah melancarkan jentera terbaru pasukan Repsol Honda Team iaitu RC213V 2024. Majlis pelancaran tersebut telah diadakan di Stesen Muzik Warner di Madrid pada hari Selasa, 13 Februari (semalam).
Joan Mir dan Luca Marini yang baru tiba dari ujian pertama tahun ini di Sepang, kedua-dua jaguh Honda telah diraikan oleh rakan-rakan, keluarga, wartawan dan lebih 600 orang tetamu yang hadir untuk melihat jentera pencabar kelas perdana musim ini.
Jentera Honda musim ini dilengkapkan dengan liveri baru yang menarik dan sangat berlainan dengan rekacorak sebelum ini. Ia menyuntik semangat buat Joan Mir dan Luca Marini untuk menuju ke tahun baharu MotoGP dengan azam tinggi untuk meneruskan kemajuan.
Tahun 2024 menandakan musim ke-30 kerjasama antara Repsol dan Honda HRC dan sudah pasti ia adalah perkongsian perniagaan paling lama seumpamanya dalam sukan permotoran dua roda. Kerjasama ini telah menghasilkan kemenangan sebanyak15 kali dalam Kejuaraan Sedunia, 183 kemenangan Kelas Perdana, 455 podium dan sembilan Triple Crown.
Kerjasama berterusan antara Honda HRC dan Repsol telah memastikan tahap prestasi maksimum terus dikekalkan. Joan Mir memasuki musim kedua dengan Pasukan Repsol Honda, kini bekerja keras bersama Santi Hernandez. Selepas setahun Mir berlatih dan memperbaiki diri, dia kini cukup bersemangat untuk meningkatkan pencapaian ketara pada 2024. Sehingga kini, pelumba berusia 26 tahun itu memiliki 13 podium kelas utama dan satu kemenangan. Prestasi Mir di Sepang menunjukkan penambahbaikan yang berjaya bbersama Honda RC213V.
Rakan sepasukan barunya ialah Luca Marini. Seorang pelumba berusia 26 tahun dan kini dipilih untuk menjadi pelumba sepenuh masa yang ke-20 dalam pasukan Repsol Honda. Marini menyertai kelas perdana pada 2021 selepas mempamerkan tunggangan cemerlang dalam Moto2dengan enam kemenangan dan 15 podium.
Jentera Honda RC213V 2024 bukan sahaja tampil dengan liveri baharu, tetapi juga telah menerima beberapa peningkatan di seluruh jentera. Daripada aerodinamik kepada penambahbaikan pada enjin dan casis. Penyelidikan dan pembangunan yang cukup teliti telah melahirkan sebuah motosikal yang kompetitif bagi cubaan merapatkan jurang dan berjuang untuk kedudukan di hadapan.
Kita tunggu dah lihat! RR