Sesi Ujian WorldSBK: Toprak Razgatlioglu Paling Pantas!
Sesi terakhir European Test musim ini telah pun selesai dan Toprak Razgatlioglu ternyata mencuri tumpuan apabila mengungguli sebahagian besar sesi tersebut di kedudukan paling atas.
Ini membuktikan bahawa potensinya bersama BMW sangat tinggi. Permulaan sesi memperlihatkan kemantapan pecutan yang dimiliki oleh Nicolo Bulega (Aruba.it Racing – Ducati) tetapi kepantasan itu kemudiannya tidak mampu menyaingi rentak Toprak. Walaupun ini adalah musim pertamanya bersama BMW, catatan masa yang dipamerkan oleh pelumba Turki itu memberi harapan besar buat seluruh pasukannya.
Toprak sedang menguji lengan ayun yang baru dikemas kini pada hari pertama dan kemudiannya menjadi “tugas berterusan" untuk seluruh krew bagi dapatkan talaan yang sepatutnya diteruskan hingga hari kedua. Dalam separuh masa pertama sesi ujian hari kedua, 'El Turco' menggunakan tayar SC0, yang dilihat memberikan rentak yang sangat baik buat Toprak sehingga berjaya mendapatkan catatan 1'40s dan ia adalah yang pertama menghampiri 1'39.
Dalam peluang terakhirnya, dia mengerahkan seluruh tenaga jenteranya untuk meraih 1'39.189 untuk meletakkan BMW dengan grid paling baik. rakan sepasukan Michael van der Mark juga memiliki rentak yang tidak kurang hebatnya. Kini dia lebih fokus pada talaan dan persediaan jentera. Walaupun mereka sudah memiliki talaan asas yang boleh dianggap terbaik, van der Mark akan terus 'bermain' dengan talaan tersebut sebelum perlumbaan dimulakan. RR