Afif Sah Bergelar Juara CP150
Tahniah buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran selepas merangkul kejuaraan kelas prima buat kali kedua untuk musim 2019. Kejayaan manis itu dinikmati selepas berjaya menamatkan saingan akhir CP150 di tempat kedua untuk menambah 20 mata lagi seterusnya mengungguli carta keseluruhan kelas ini dengan 147 mata.
Dalam perlumbaan akhir, juara 2018 dan 2019 itu bermula dengan cemerlang untuk berada di depan. Turut memberi saingan sengit dalam kelompok hadapan ialah Md Aiman, Azroy Hakeem dan Md Akid Aziz. Pelumba Honda Yuzy Racing, Azroy sememangnya mempunyai rentak lebih pantas memandang Jempol adalah litar kegemarannya. Dia tangkas memintas dua pencabarnya untuk berada di belakang Afif dan apabila mendapat peluang, Azroy terus menyerang!
Afif tenang menutup ruang menyebabkan Azroy tidak berupaya untuk meloloskan diri. Akid kemudiannya berjaya mencari kelemahan Afif untuk memintas seterusnya memimpin perlumbaan. Kedua-dua pelumba PETRONAS itu mempamerkan tunggangan yang cukup hebat untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua. Ketika Azroy mencuba sedaya upayanya untuk memberi cabaran di tempat ketiga, jenteranya mengalami masalah teknikal menyebabkan dia terpaksa melupakan kedudukan podium.
“Saya berjaya mengekalkan gelaran selaku juara keseluruhan musim ini. Ini berkat kerja keras semua krew pasukan yang telah bertungkus lumus menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi perlumbaan musim ini. Saya telah berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang musim, namun tidak pernah patah semangat untuk meraih keputusan terbaik. Terima kasih kepada seluruh krew pasukan, ahli keluarga dan para penyokong yang telah memberi sokongan kepada saya sepanjang musim ini,” komen Juara CP150, Ahmad Afif Amran.
Dengan berbaki hanya satu pusingan lagi, persaingan CP150 kini tertumpu kepada perebutan tempat kedua yang masih lagi terbuka buat Akid (112) mata dan Azroy di tangga ketiga dengan 102 mata. Pada masa yang sama, gelaran juara keseluruhan bagi pasukan juga akan diketahui pada perlumbaan pusingan ke-10 yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 7-8 Disember 2019.
CP115
Perebutan juara keseluruhan terus sengit walaupun hanya tinggal satu pusingan sahaja lagi. Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ-Racing, Ahmad Syukran menang di Negeri Sembilan untuk meraih 25 mata lagi seterusnya berada di tangga pertama keseluruhan dengan 160 mata, tujuh mata di hadapan Syafiq Rosli yang berada di tangga kedua.
Syukran yang bermula dari barisan ketiga telah mempamerkan gaya tunggangan penuh bergaya untuk menewaskan para pencabarnya bagi memimpin perlumbaan. Walaupun begitu, Syafiq tidak memberikan kemenangan buat Syukran dengan mudah. Pelumba dari Perak itu mengerahkan jentera untuk memberi saingan sepanjang 15 lap tetapi terpaksa akur apabila melintasi garisan penamat hanya 0.982 saat di belakang Syukran.
Tahniah juga diucapkan buat Adib Rosley yang kembali ke podium selepas tiga pusingan berlalu tanpa sebarang keputusan yang memberangsangkan.
WIRA
Ucapan tahniah buat pelumba AFB TECH Racing, Abdullah Qayyum Abd Razak membuktikan kehebatannya apabila memenangi perlumbaan akhir dengan catatan masa 9:44.355s diikuti Awal M Al Fikri Yusni (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) di tempat kedua dengan masa 9:44.574s dan Akif Hakimi Zainuddin di tempat ketiga.
Seperti CP115, litar Sepang turut akan menjadi penentu juara buat Aliff Danial dan Md Zaki yang masing-masing dibezakan dengan enam mata.
Cabaran Yamaha PETRONAS Super Series
Juara keseluruhan musim ini, Harith Rosmaza mengulangi kecemerlangan sekali lagi selepas mendominasi saingan akhir di litar Jempol dengan kelebihan hampir lima saat di hadapan pemenang tempat kedua, Rahimi Nabil dan Nizamudin Aleshamudin di tempat ketiga.
Kemenangan penuh berharga ini dimilikinya selepas mempamerkan kecekapan meratah selekoh-selekoh teknikal tanpa diberi tekanan oleh para pelumba lain. Rentak pelumba dari Kuala
Lumpur ini semakin pantas menjelang ke saat-saat akhir telah mendapat sorakan daripada seluruh rakan sepasukan dan para penonton yang membanjiri litar pada hari tersebut.
Cabaran Honda Dash 125
Selepas terpaksa berhempas pulas cuba menidakkan segala serangan daripada Allan Harris, pelumba dari Selangor, Farid Hakimi berjaya meraih 25 mata apabila menerima kibaran bendera penamat 1.459 saat di hadapan pencabarnya untuk muncul juara pusingan kesembilan. Allan yang akur di tempat kedua tidak perlu bersedih kerana kini memiliki harapan untuk meraih takhta naib juara dengan kutipan 107 mata.
Pemenang tempat ketiga pusingan ini iaitu Syamil Akmal masih berada di kedudukan yang agak selesa dengan 123 mata tetapi perlu tamatkan saingan seterusnya (Pusingan 10) di hadapan Zuhailnabil untuk bergelar naib juara keseluruan kategori ini. Sama- sama kita nantikan.
Cabaran NVX
Md Ashraffi terus bergaya dengan kejayaannya menjuarai pusingan kesembilan walaupun dipaksa untuk bekerja keras oleh Danish Fitri di sepanjang lapan lap yang memenatkan. Danish mengerahkan seluruh tenaga dan kemahirannya untuk mencari kemenangan tetapi apakan daya, setiap serangan berjaya ditangkis oleh Ashraffi dengan cukup tenang. Turut memberi cabaran dalam saingan akhir ini ialah Adib Kharith yang menggalas cabaran dengan cukup baik.
Asharaffi menang dengan catatan masa 7:17.509 saat diikuti Danish yang hanya 0.901 saat di belakang manakala Adib di tempat ketiga. Walaupun juara dan naib juara telah pun ditentukan, semangat juang yang terus membakar oleh para pelumba muda ini harus diberi pujian.
Perlumbaan pusingan akhir akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 7-8 Disember 2 0 1 9 . RR
Popular