Pasukan Pata Prometeon Yamaha WorldSBK dilancarkan!!
Yamaha Motor Europe secara rasminya telah memperkenalkan barisan pelumba untuk Kejuaraan Sedunia FIM WorldSBK 2024 menjelang pembukaan musim baru yang bakal diadakan di Litar Phillip Island.
Pasukan Rasmi Pata Prometeon Yamaha WorldSBK akan sekali lagi akan mengetuai angkatan pasukan jentera Yamaha, tetapi musim ini dengan wajah serba baru di garaj iaitu Juara Dunia Enam Kali, Jonathan Rea. Beliau merupakan pelumba paling berjaya dalam sejarah WorldSBK dengan 119 kemenangan dan 263 podium.
Sejak menyertai pasukan Yamaha, Rea sudah tidak sabar-sabar untuk menambah koleksi kemenangannya lagi. Pelumba dari Ireland Utara berusia 36 tahun itu menggunakan setiap ruang dan peluang untuk mencari keserasian dengan jentera R1 dan berasa yakin peningkatan prestasi menjelang perlumbaan sebenar nanti.
Bergandingan bersama Rea ialah juara Supersport Dunia 2020, Andrea Locatelli yang melangkah ke musim keempatnya bersama Pata Prometeon Yamaha. Pelumba Itali berusia 27 tahun itu memiliki keputusan yang baik pada musim lalu dengan kejayaan lapan kali ke podium dan tempat Ke-4 Keseluruhan.
Pata Snack kekal sebagai penaja utama skuad WorldSBK rasmi Yamaha ini untuk musim kesembilan berturut-turut. Perkongsian Pata dengan Yamaha merangkumi kesemua kategori dalam saingan WorldSBK, termasuk pasukan Ten Kate Yamaha di WorldSSP dan pasukan AG Motorsport Italia Yamaha dalam WorldSSP300. RR