Ricky Brabec Juara Dakar Rally 2024
Setelah mengharungi 8,000km di dalam 12 peringkat yang merangkumi 14 hari, Ricky Brabec menjadi juara keseluruhan untuk kelas motosikal di dalam Rally Dakar 2024. Ia merupakan kemenangan yang kedua di rali tersebut buat Brabec sebagai penunggang pasukan Monster Energy Honda Team setelah dia memenanginya julung kali pada 2020.
Brabec bermula dengan perlahan dan tidak memenangi mana-mana lima peringkat yang pertama. Namun pendekatannya yang menumpukan kepada tunggangan yang konsisten membuahkan hasil apabila dia dapat memasukki kelompok pendahulu bermula daripada peringkat yang ke-6. Dia meneruskan rancangannya dan akhirnya dapat menjadi pendahulu kelas perlumbaan dengan jarak masa yang amat selesa apabila bermulanya peringkat ke-12 dan terakhir.
Sebaliknya pelumba yang mendapat tumpuan pada awal perlumbaan merupakan Ross Branch, yang menunggang motosikal Hero yang berasal daripada India. Branch telah memenangi setiap enam peringkat yang pertama dan menjadi pendahulu keseluruhannya. Apapun, dia terpaksa akur dengan prestasi pelumba lain termasuklah Brabec yang lebih cemerlang pada penhujung perlumbaan. Branch menamatkan perlumbaan dengan jarak 11 minit di belakang Brabec.
Tempat ketiga pula jatuh kepada rakan sepasukan Brabec, Adrien Van Beveren. Beveren sebenarnya telah mengasak dengan agresif untuk mengambil kedudukan Branch. Masa keseluruhannya hanya kurang daripada 30 saat di belakang Branch.
Apa pula dengan pelumba-pelumba KTM serta jenama naungan mereka seperti Husqvarna dan GasGas? KTM merupakan suatu kuasa yang disegani di dalam rali Dakar. Kevin Benevides dan Toby Price yang masing-masing menunggang KTM berada di tempat keempat dan kelima, manakala Luciano Benavides yang menunggang Husqvarna berada di tempat yang ketujuh, dan Daniel Sanders yang menunggang GasGas menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.