GIVI Rimba Raid 2023 (Kuala Tahan, Pahang): Makin Sukar... Makin Ramai Pencabar...
Bagi para peminat sukan motosikal lasak dan motocross khususnya di Malaysia dan negara-negara berdekatan, perlumbaan lasak Rimba Raid tidak perlu lagi diperkenalkan. Acara ini mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan tahun ini merupakan penganjuran edisi kelapan.
Tahun ini, sekali lagi saingan Rimba Raid telah diadakan di Taman Negara, Kuala Tahan dengan jarak persaingannya sejauh 196 kilometer - merentasi laluan-laluan sukar (offroad) di dalam Hutan Hujan Tropika yang terbesar dan tertua di dunia yang sudah pasti menguji ketahanan mental dan fizikal buat penunggang dan jenteranya.
Menerusi penganjuran Rimba Raid ini, para pelumba dari dalam dan luar negara bukan sahaja berpeluang menikmati keindahan flora dan fauna yang terdapat di Taman Negara malah turut mempromosikan destinasi unik ini di samping membantu ekonomi masyarakat setempat termasuk perniagaan makanan, tempat penginapan, krew marshal, penyelamat dan lain-lain.
Penyertaan peserta dari luar negara pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan dengan jumlah yang melebihi daripada penyertaan peserta tempatan. Lebih menarik lagi, seramai 20 orang peserta wanita turut serta mengambil bahagian yang datangnya dari enam buah negara.Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu MasterClass A, Class B dan Class C yang dibezakan dengan saiz enjin jentera yang digunakan.
Antara laluan paling mencabar ialah di Sungai Sangkut, Tangga Derita, Tembeling Sandbank, Bukit Tobat, Jurassic Park dan di Cerun Neraka yang mengerahkan seluruh tenaga dan skill pelumba untuk laluan pendakian yang cukup sukar. Para pelumba juga terpaksa merentasi beberapa buah sungai yang bagaikan 'perangkap' yang sentiasa menunggu ketibaan mangsanya. Kecekapan kawalan amat diperlukan untuk menyempurnakan cabaran di Sandbank sebelum para pelumba berhenti untuk menambah bahan api.
Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, kedudukan posisi di grid permulaan telah dipilih berdasarkan catatan masa terpantas yang dicipta oleh para pelumba dalam Perlumbaan Prologue. Setiap pelumba dilepaskan berasingan dengan peluang mendapatkan masa terpantas dalam 3 lap percubaan. Dalam saingan ini kita dapat melihat jentera-jentera besar seperti BMW R 1250 GS, KTM 1290 Adventure atau Honda Africa Twin 1000 atau Yamaha Tenere membuat lompatan tinggi – aksi yang hanya ada di Rimba Raid. Pelumba paling pantas dalam Perlumbaan Prologue ialah Traiphop Boontaeng dari Thailand dengan catatan masa 32.788s yang menunggang KTM 350 EXC-F.
Perlumbaan sebenar Rimba Raid ’23 dilepaskan pada tanggal 2 September di Kampung Pagi pada jam 8.30 pagi. Semangat para pelumba untuk menawan laluan-laluan yang disediakan cukup mengagumkan. Laluan-laluan semakin sukar, bermula dengan sungai yang perlu diredah. Di sini, ramai pelumba yang berjaya meredah dan ada juga yang ‘terbaring’ di dalam air.
Apabila berdepan dengan keadaan jalan yang lebih sukar, para pelumba mula memperlahankan kelajuan dan mencari laluan terbaik untuk meneruskan cabaran. Ini menyebabkan keadaan semakin sesak, sedikit demi sedikit ramai pelumba mula kepenatan. Bagi para pelumba yang berlepas awal mungkin tidak terlalu sukar untuk menangani laluan sebegini berbanding yang sampai lewat, terpaksa menunggu 'giliran' untuk meloloskan diri.
Pergelutan dirasai sama rata, ada tempat yang memberikan kelebihan buat jentera ringan dan ada juga halangan yang lebih mudah jika jentera mempunyai lebih tenaga. Para petugas marshal atau pelumba lain dibenarkan memberi bantuan tetapi dengan syarat seseorang pelumba ini wajib mengawal/menyentuh motosikal mereka apabila tayar mula bergolek. Jika berhenti di tepi, para pelumba juga harus memberikan tanda bagus/thumbs up kepada pelumba lain dan petugas marshal jika tiada memerlukan pertolongan.
Dengan cuaca yang semakin panas dan tahap kesukaran yang semakin tinggi, para pelumba yang sudah kepenatan atau motosikal bermasalah membuat keputusan untuk berpatah balik. Memang betul... 196 kilometer dalam hutan tebal bukan perkara mudah. Memang 'salute' kepada semua pelumba Rimba Raid, anda memang kental.
Apabila tiba di laluan yang membenamkan sebuah motosikal, pengendalian dan laluan yang dipilih menjadi penentu. Stamina dan kecekalan amat diperlukan ketika ini dan kejayaan terbukti tidak hanya boleh diukur dengan kedudukan tempat dalam senarai pemenang tetapi usaha untuk terus menyambung saingan itu memang sudah cukup hebat.
Di Sandbank, para pelumba perlu melalui laluan yang disediakan sebelum berhenti menambah isi tangki untuk meneruskan perlumbaan. Makin ramai yang membuat keputusan untuk 'bersara' dan berharap dapat menebus kekecewaan pada edisi akan datang.
Tidak kira motosikal apa sekali pun, baik besar atau kecil... semuanya sama-sama susah, sama-sama gembira, sama-sama penat. Ada yang sudah berputus asa walaupun hanya tinggal 30% perjalanan lagi untuk tiba ke garisan penamat. Kata-kata dorongan dan pembakar semangat sesama pelumba memang diperlukan agar kudrat yang kian kepenatan kembali bertenaga.
Para pelumba wanita yang terus 'degil' melawan segala ujian yang datang memang wajib diberikan pujian. Tenaga dan pengalaman digunakan sehabis-habisnya untuk menerima kibaran bendera penamat. Ramai yang kecundang dan ada yang mengalami kecederaan tetapi tetap kami 'salute' dengan keazaman kalian. Moga cepat sembuh!
Sekurang-kurangnya lima pelumba wanita telah berjaya menghabiskan keseluruhan saingan antaranya Tippapar Ketklam, Nur Shamira, Thanapong Srifar, Nur Nasthasia Nadiah dan Erinna Fahanna. Tahniah diucapkan buat pelumba wanita dari Thailand iaitu Tippapar Ketklam yang berjaya meraih gelaran Pelumba Wanita Terpantas dengan catatan masa keseluruhan 7:00:48.495s.
Pelumba 'otai' negara iaitu Shamsul Azhar atau lebih dikenali dengan nama Acoi Pangkolo berjaya merampas kembali kejuaraan Kelas Master A dari tangan pasukan Thailand. Acoi menamatkan saingan 4:32:49.479s.
“Saya amat gembira meraih kemenangan dalam perlumbaan yang cukup berprestij seperti ini. Ia cukup sukar dan sangat mencabar tetapi saya dapat 'enjoy' dan nikmati setiap detik di Rimba Raid. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih untuk rakan sepasukan, keluarga dan semua peminat atas dorongan yang diberikan,” kata Acoi.
Kelas B dimenangi oleh pelumba Thailand, Suradet Thawilap manakala Hazim Hayazi dari pasukan Fantic Racing Malaysia turut mencipta kenangan manis di Taman Negara dengan menunggang jentera Fantic XEF 250 Enduro. Tahniah buat semua pelumba dan pemenang. Jumpa lagi di Rimba Raid 2024. RR
Popular