Pelumba Jerman, Patrick Hoff bakal sertai perlumbaan Isle of Man buat kali pertama
Mungkin tidak ramai di antara kita mengenali Patrick Hoff. Beliau ialah seorang pelumba dari Jerman yang memiliki prestasi cukup baik di Eropah khususnya dalam saingan International Road Racing Championship (IRRC) dengan kejayaan meraih tempat ketiga keseluruhan pada tahun ini (2023).
Pelumba berusia 32 tahun itu kini mencabar dirinya ke tahap lebih tinggi dengan menyertai perlumbaan paling mendebarkan di dunia iaitu Isle of Man TT untuk tahun 2024 nanti.
Patrick akan memberi saingan bersama pasukan Penz13.com menunggang jentera BMW dan pada masa yang sama, beliau juga akan berlumba dalam RST Superbike, RL360 Superstock dan Milwaukee Senior TT Races.
Pada mulanya Patrick bercadang untuk turun beraksi dalam Isle of Man TT pada tahun ini (2023) tetapi telah dinasihatkan oleh rakan senegaranya, David Datzer untuk menambah pengalaman terlebih dahulu. Sebelum Patrick, tiga orang pelumba IRRC lain turut memberi cabaran dalam perlumbaan ini iaitu Lukas Maurer, David Datzer dan Erno Kostamo.
“Saya sudah berkunjung ke pulau itu sebanyak dua kali. Kali pertama dengan David dan bulan lepas mendapat peluang bersama Pegawai Perhubungan Penunggang TT, Johnny Barton. Saya mengelilingi laluan perlumbaan di pulau itu sebanyak 20 pusingan (dengan kereta) dan kini turut belajar lagi menerusi permainan PlayStation dengan lebih kerap!" RR
sumber: https://iomttraces.com