WSBK: Toprak Razgatlioglu Makin Yakin Dengan BMW
Selepas terjejas oleh hujan di Portimao dan Jerez, BMW memilih sesi ujian selama dua hari di Valencia untuk menamatkan minggu yang cukup penting dan sibuk.
Tidak dinafikan, ia merupakan minggu yang mencabar bagi Pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK yang berusaha 'mencari' cuaca kering bagi persediaan menghadapi Kejuaraan MOTUL FIM WorldSBK MOTUL 2024 bersama pelumba baru mereka Toprak Razgatlioglu dan Michael van der Mark.
Pada mulanya, pasukan ini merancang untuk mengadakan sesi ujian satu hari di Portimao dan dua hari di Jerez, Akhirnya mereka terpaksa mengembara merentasi Semenanjung Iberia dan menyelesaikan 'minggu' ujian mereka di Valencia secara tidak dijangka dan tidak dirancang.
Selepas empat tahun menggunakan jentera Yamaha YZF-R1 yang memberikan gelaran juara pada tahun 2021, pelumba dari Turki itu akhirnya meninggalkan pengeluar Jepun itu untuk menyertai BMW untuk saingan 2024.
Kali pertama Razgatlioglu menguji jentera barunya ialah di Litar Portimao dan sejak dari saat itu dia berusaha untuk menyesuaikan diri. Mengulas ujian itu, pelumba berusia 27 tahun itu berkata: “Kami tidak benar-benar bernasib baik sejak beberapa hari lalu. Juga di Valencia, hujan mula turun pada pagi Jumaat dan trek itu basah sepenuhnya. Tetapi trek ini kering dengan cepat dan kami boleh menunggang semula pada sebelah petang.”
“Kami membuat peningkatan yang besar, terutamanya pada tiga sesi terakhir, dan saya sangat menikmati jentera BMW M 1000 RR terutamanya pada brek enjin dan sistem elektronik. Saya masih belajar mengenai jentera kerana ia jentera berbeza tetapi selepas lap demi lap, saya tahu cengkaman dan reaksi yang membuatkan saya sangat gembira.”
“Terima kasih kepada semua krew kerana semua orang bekerja keras untuk memberikan saya jentera yang baik. Prestasi kami sudah tidak lagi jauh ketinggalan, kami akan kembali!” RR