MotoGP 2014: Pusingan 4:Jeres, Sepanyol- Marques Bagai Tiada Pencabar
Selepas Qatar, Amerika Syarikat dan Argentina, pelumba kelahiran Sepanyol, Marc Marquez bagaikan tiada pencabar apabila sekali lagi muncul juara di perlumbaan pusingan keempat yang berlangsung di Jerez, Sepanyol pada awal Mei lalu. Selain mendapatkan mata sempurna 100, Marquez turut berjaya membuat rekod lap terpantas dengan catatan 1’39.841 saat pada perlumbaan ke-100 buatnya pada hari itu.
Dominasi dua pelumba Yamaha, Jorge Lorenzo dan Valentino Rossi di awal perlumbaan langsung tidak memberikan sebarang tekanan buat pelumba muda Honda itu untuk membuat serangan seterusnya memimpin saingan hingga ke akhir perlumbaan. Kemenangan ini juga mengangkat namanya sebagai pelumba pertama berjaya memenangi empat perlumbaan berturut-turut dalam perlumbaan prima sejak pelumba lagenda Mick Doohan melakukannya pada 1992 lalu.
“Saya cukup-cukup gembira dengan keputusan pada hari ini kerana saingan daripada Pedrosa, Lorenzo dan Rossi semakin kuat terutamanya di saat-saat akhir. Apabila dapat keserasian dengan tayar, saya terus meninggalkan mereka semua untuk kemenangan ini,” kata Marc Marquez.
Litar Jerez juga memberi peluang kepada juara sembilan kali, Valentino Rossi untuk kembali ke podium selepas menunjukkan persembahan yang cukup meyakinkan. Dia yang berada di petak keempat bermula cukup cantik untuk merebut tempat kedua seawal selekoh pertama. Walaupun cuba merapati pencabarnya, Marquez jelas terlalu laju sehingga membuka jarak sejauh hampir empat saat di hadapan.
Happy Birthday!! Tetapi, ini mungkin sambutan hari lahir yang kurang menyeronokkan buat Jorge Lorenzo apabila masih gagal mendapatkan keputusan yang diidam-idamkan walaupun
berhempas pulas berada di hadapan. Selepas tiga suku persaingan cuba mengekalkan rentak namun dia akhirnya terpaksa melepaskan kedudukannya ke tangan Pedrosa yang ternyata lebih pantas ketika perlumbaan berbaki hanya enam lap sahaja lagi. “Ia minggu yang sangat sukar buat saya dan pasukan. Keadaan fizikal saya jauh lebih teruk daripada apa yang saya jangkakan dan semestinya kami perlu lebih berusaha lagi,” komen Lorenzo.
Gabungan dua ‘D’ iaitu Ducati dan Dovizioso nampaknya semakin menjadi! Ducati yang selama ini agak ketinggalan mula menunjukkan kematangannya selepas beberapa kali memberikan keputusan yang memberangsangkan. Ini amat penting kerana Ducati suatu ketika dulu merupakan pasukan yang digeruni – dibuktikan oleh pelumba Australia, Casey Stoner yang muncul sebagai juara MotoGP tahun 2007.
Pada perlumbaan pusingan keempat, Dovizioso yang berada di kelompok kedua menerima cabaran hebat daripada beberapa pelumba handal seperti Aleix Espargaro dan Alvaro Bautista. Pertarungan sengit antara para pelumba ini berterusan sehinggalah di garisan penamat yang menunjukkan pengalaman telah membantu Dovizioso menerima bendera penamat terlebih dahulu. Nasib berbeza telah menimpa Crutchlow yang masih bergelut dengan kecederaan tangan kanannya. Walaupun cuba sedaya upaya memperbaiki prestasinya, masalah brek telah meranapkan impiannya di Jerez untuk mengutip mata.
Ternyata saingan musim ini agak terbuka walaupun keupayaan Marc Marquez sukar ditandingi. Pastinya Yamaha akan terus berusaha untuk memberikan jentera terbaik buat Rossi dan Lorenzo manakala Ducati juga tidak akan berdiam diri melihat kemajuan yang dicapai oleh para pencabarnya. RR
Popular