Marc Marquez Muncul Juara MotoGP 2019
Sekalung tahniah diucapkan buat pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez yang telah dinobatkan sebagai juara FIM MotoGP World 2019 selepas mempamerkan tunggangan cemerlang pada perlumbaan pusingan ke-15 yang berlangsung di litar Chang International, Thailand pada awal Oktober lalu. Kemenangannya dalam kelas MotoGP buat kali keempat berturut-turut dan keenam secara keseluruhan telah meletakkan namanya sebaris dengan lagenda motosikal seperti Giacomo Agostini, Mike Hailwood dan Valentino Rossi.
Selepas pusingan ke-15 lalu, Marquez telah pun berjaya muncul juara sebanyak sembilan kali, naib juara lima kali dan baru sekali sahaja gagal tamatkan perlumbaan. Ini memberikan jumlah kutipan mata keseluruhan sebanyak 325 mata, meninggalkan pencabarnya musim ini, Andrea Dovizioso di tangga kedua dengan perbezaan 110 mata.
Pada perlumbaan di Thailand, Marquez terlebih dahulu menggemparkan para peminat apabila terlibat dalam kemalangan yang agak serius di selekoh 7 ketika sesi Latihan Bebas 1 (FP1). Marquez telah dibawa ke hospital tempatan untuk diperiksa dan telah disahkan sihat untuk beraksi. Walaupun bahagian belakang, pinggul dan kakinya masih sakit, pelumba dari Sepanyol ini berjaya mencatatkan masa terpantas pada sesi FP2.
Namun begitu, pelumba berbakat besar dari pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Fabio Quartararo telah berjaya mengungguli sesi ujian masa rasmi dengan catatan masa 1'29.719 saat untuk meraih petak pertama buat kali keempat untuk musim ini. Seorang lagi jagoan Yamaha, Maverick Vinales di petak kedua dan Marquez ketiga.
Quartararo melakukan holeshot untuk mendapatkan selekoh pertama dan tanpa ragu-ragu, dia memimpin perlumbaan dengan penuh gaya. Bagi pelumba yang baru tahun pertama menyertai kelas prima, bersaing dalam kelompok hadapan sudah dikira hebat, Quartararo kini berjaya berada di hadapan 21 orang pelumba.... ia sesuatu yang amat mengagumkan. Pada masa yang sama, Marquez hampir berlanggar dengan Franco Morbidelli tetapi kemantapan kedua-dua pelumba menyelamatkan keadaan.
Vinales terus selesa di tempat ketiga dan hanya mampu untuk mengekalkan posisi memandangkan amat sukar untuk merapati Quartararo dan Marquez. Quartararo cuba melarikan diri tetapi ianya amat sukar kerana jentera Honda memiliki kelebihan untuk membuat pecutan, lebih-lebih lagi Ialuan lurus. Dari lap pertama hingga hampir tamat, Marquez mengambil keputusan untuk membaca segala pergerakan dan titik kelemahan lawannya. Posisi tempat ketiga dan keempat juga tidak berubah, Vinales dan Dovizioso berada dalam rentak masing-masing.
Perebutan tempat keenam lebih sengit. Alex Rins, Valentino Rossi, Joan Mir saling pintas memintas. Pujian buat Rossi, pelumba berumur 40 tahun yang terus menunjukkan kesungguhan bersaing dengan para pelumba muda. Rins akhirnya berjaya meninggalkan kedua-dua pencabarnya itu untuk mengejar Morbidelli dan Dovizioso. Selepas berhempas pulas, Rins akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Quartararo yang telah mengetuai perlumbaan selama 25 lap akhirnya dipintas oleh Marquez pada lap terakhir. Quartararo memberikan segalanya untuk menyekat kemaraan pelumba bernombor 93 itu tetapi tidak berjaya manakala masa juga semakin suntuk. Akhirnya Quartararo menyerang di selekoh akhir dan dapat dilihat dengan jelas tayar belakang kedua-dua jentera Yamaha dan Honda terangkat sewaktu mereka membrek dengan keras.
Marquez berjaya mengekalkan laluan untuk melintasi garisan penamat di tempat pertama manakala 0.171 saat di belakang ialah pemenang tempat kedua dari pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Fabio Quartararo. Vinales memperoleh kedudukannya di podium sebagai pemenang tempat ketiga diikuti Dovizioso dan Rins.
“Sememangnya ia adalah satu pengalaman hebat dan boleh dikatakan 2019 adalah musim yang hampir sempurna buat saya. Walaupun memperoleh kemenangan demi kemenangan, ia tidak bermakna kerja kami telah selesai. Banyak lagi perlu dilakukan dan diperbaiki dari masa ke masa. Terima kasih buat semua rakan dan krew pasukan yang sentiasa menyediakan jentera terbaik buat saya sepanjang musim ini. Kini.... kita raikan bersama-sama!” komen Juara 2019, Marc Marquez.
Selepas Thailand, tumpuan kini menjurus kepada perebutan tempat kedua keseluruhan yang masih terbuka buat Andrea Dovizioso, Alex Rins, Maverick Vinales, Danilo Petrucci, Valentino Rossi dan Fabio Quartararo. Segalanya tidak mustahil.... apa yang perlu mereka lakukan ialah dengan memberikan segalanya demi kejayaan mutlak.
Moto2
Luca Marini cukup serasi dengan litar Buriram ini apabila mengungguli cabaran akhir dengan penuh bergaya. Marini yang pada awalnya sukar untuk melarikan diri daripada Alex Marquez tidak terburuburu untuk meratah setiap selekoh dengan kemas. Marquez pula tidak lama kemudian diberi tekanan oleh Iker Lecuona dan Brad Binder. Marquez hilang posisinya pada lap ke-11 apabila tidak mampu lagi menahan serangan daripada Lecuona yang memiliki rentak lebih mantap. Posisi Marquez sekali lagi tergugat apabila dipintas oleh Binder tidak lama selepas itu.
Marini tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku di belakangnya, dia terus memecut ke hadapan untuk meraih kemenangan yang cukup penting. Pertarungan untuk naib juara semakin sengit! Binder yang mendapat rentak lebih baik berjaya merapatkan diri tetapi agak sukar untuk memintas. Persaingan keduadua pelumba tersebut mendapat sorakan gemuruh daripada para penonton yang hadir.
Luca Marini ahkirnya melintasi garisan penamat dengan kejayaan penuh bermakna manakala Binder yang tidak berputus asa berjaya menewaskan pencabarnya, Lecuona untuk meraih tempat kedua dan menambah 20 mata lagi dalam kutipan keseluruhannya.
Alex Marquez masih mengungguli carta keseluruhan dengan 224 mata walaupun berada di tempat kelima. Augusto Fernandez berada di tangga kedua (184 mata) manakala Brad Brinder semakin pantas mengejar dengan 180 mata.
Moto3
Sememangnya persaingan kelas ini amat sukar untuk dijangka. Kedudukan para pelumba sering bertukar sepanjang perlumbaan terutamanya kelompok di hadapan yang dibarisi oleh Albert Arenas, Lorenzo Dalla Porta, Alonso Lopez dan Marcos Ramirez. Turut pamerkan kecemerlangan di peringkat awal ialah John Mcphee dari pasukan PETRONAS Sprinta Racing.
Lorenzo Dalla Porta (48) dan Albert Arenas (75) beberapa kali bertukar kedudukan memandangkan kedua-duanya sama hebat… sama pantas. Pada masa yang sama, sesekali Tatsuki Suzuki (24) turut berjaya memimpin perlumbaan tetapi sayangnya kedudukan tersebut gagal dipertahankan untuk jangka masa yang lama. Dengan catatan masa 38’09.383s, Arenas dari Sepanyol berjaya meraih kejuaraan diikuti Porta di tempat kedua dengan perbezaan hanya 0.231s.
Dengan penambahan 20 mata lagi, Porta ‘mengetuai’ carta keseluruhan dengan 204 mata manakala Aron Canet kedua (182 mata) dan Tony Arbolino di tangga ketiga.
Selepas Thailand, para pelumba akan bersaing di tiga lagi litar iaitu Motegi, Jepun (20 Oktober), Phillip Island, Australia (27 Oktober) dan Sepang, Malaysia (3 November) sebelum ke Valencia (17 November) untuk ‘acara’ penutup. Juara kelas Prima telah pun dinobatkan, kini tinggal dua lagi takhta yang belum berpunya. Sama-samalah kita nantikan. RR
Popular