MotoGP 2023: Aleix Espargaro Raih Kemenangan Di Saat Akhir
Selepas 'bercuti' lebih sebulan, saingan MotoGP akhirnya kembali di Litar Silverstone pada awal Ogos yang lalu. Dengan semangat yang serba baru, para pelumba telah memberikan tunggangan yang cukup bertenaga walaupun dalam cuaca yang tidak sempurna.
Dengan titis-titis hujan turun menjelang penghujung perlumbaan, Aleix Espargaro (Pecco) menguasai persaingan akhir yang berubah-ubah. Dengan pengalaman dan kesungguhan tinggi, dia berjaya meletakkan dirinya dalam kedudukan yang sempurna untuk membuat serangan ke atas Francesco Bagnaia pada lap terakhir.
Saingan pada awalnya diungguli oleh Marco Bezzecchi yang berada di petak paling depan. Namun begitu, permulaan yang sempurna oleh Jack Miller membolehkan pelumba Australia itu memimpin perlumbaan. Mengekori rapat di belakangnya ialah Francesco Bagnaia, Alex Marquez, Maverick Vinales dan A. Espargaro yang turut mempunyai rentak yang mantap.
Bagnaia akhirnya mula menyerang dan berjaya menundukkan Bezzecchi tidak lama kemudian dan mangsa seterusnya ialah Jack Miller. Pelumba Itali itu telah mendahului majoriti perlumbaan dan berjaya mengekalkan rentaknya dengan cemerlang dalam situasi yang memberi tekanan.
A. Espargaro mula memintas para pelumba di depannya untuk berada di tempat kedua. Selepas mengkaji titik kelemahan Pecco, A. Espargaro membuat terkaman di saat akhir untuk menerima kibaran bendera di tempat pertama. Juara bertahan, Bagnaia membawa pulang 20 mata diikuti Brad Binder di tempat ketiga dan Vinales di posisi keempat. RR
Kedudukan Keseluruhan MotoGP 2023 (setakat GP British)
- Francesco Bagnaia 214 mata
- Jorge Martin 173 mata
- Marco Bezzecchi 167 mata
- Brad Binder 131 mata
- Johann Zarco 122 mata
Popular