Impian Tengku Amirul Tercapai
Selepas enam pusingan berjuang dengan penuh semangat, litar Teluk Intan telah memberikan pengalaman penuh bererti buat pelumba dari Terenggganu, Tengku Amirul Haffirudin untuk meraih kemenangan sulungnya dalam kelas prima. Tengku membuktikan keunggulannya dengan mencatat masa terpantas (sesi kelayakan) untuk berada di barisan hadapan. Turut mencuri tumpuan ialah Md Aiman Tahiruddin dan pelumba berpengalaman, Md Azhar yang turut cemerlang di sesi superpole.
Tengku mengambil peluang sebaik mungkin dari posisinya untuk membuat pecutan seterusnya memimpin perlumbaan dengan cemerlang sekali. Dengan adanya rakan sepasukan, Azhar di belakang, kedudukan di peringkat awal agak terjamin. Namun begitu, hadiran pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif di lap kelima mula menggugat kedua-dua pelumba di hadapan itu.
Selepas memintas Azhar, Afif menggunakan kelebihan kuasa jenteranya untuk mengejar dan mencari kelemahan Tengku. Afif berjaya tetapi segera dipintas semula oleh Tengku yang benar-benar dahagakan kemenangan. Kedua-dua pelumba ini saling bertukar kedudukan sehinggalah pada tiga lap terakhir. Ketika Afif cuba menyerang dari dalam di selekoh 'U', pergerakannya terhalang dan mengakibatkan dia terjatuh. Azhar dan Nazirul Izzat turut tersangkut.
Ini membolehkan Tengku terus memecut ke hadapan tanpa halangan hingga ke garisan akhir. Pelumba Honda, Md Helmi pula mendapat 'durian runtuh' daripada kesilapan pelumba di hadapannya untuk melintasi dan menerima kibaran bendera penamat di tempat kedua. Azhar pula sempat menyambung perlumbaan untuk tamat di tempat ketiga dengan masa 10:38.974s.
“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya selepas gagal untuk melakukannya di tempat sendiri pada Pusingan 5 (di Terengganu) dua minggu lalu. Kali ini, saya berjaya mengatasi kekecewaan itu dan terima kasih kepada krew pasukan yang telah menyediakan jentera terbaik buat saya,” kata Tengku.
Berikutan insiden itu, Afif buat pertama kalinya pulang dengan tangan kosong tetapi masih unggul di tangga teratas keseluruhan dengan 94 mata. Azroy Hakeem dari pasukan Honda Yuzy Racing di tangga kedua dengan 88 mata diikuti juara Teluk Intan, Tengku di tangga ketiga dengan 61 mata.
Dalam kelas CP115 pula, Ahmad Syukran Aizat dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju juara keseluruhan selepas muncul juara dengan catatan masa 9:44.542s, sekali gus mengatasi kekecewaannya pada Pusingan 5 di Terengganu sebelum ini.
Syukran yang sudah empat kali tamat di tempat kedua dan sekali di tempat ke-12 nekad untuk mengatasi semua pencabar terutamanya Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada perlumbaan di Perak itu. Walaupun bersaing dalam suasana sejuk dan basah, Syukran dan Syafiq telah mempamerkan tahap tunggangan yang cukup matang.
Mereka saling memintas malah amat sukar untuk menentukan siapakah sang juara. Dengan perbezaan hanya 0.007 saat, juara CP115 pusingan keenam dimenangi oleh Syukran manakala tempat kedua menjadi milik Md Syafiq Rosli diikuti Md Aiman Azman di tempat ketiga.
WIRA
Pendahulu kejuaraan, Md Zaki Ahmad Zamri menepati ramalan apabila muncul juara kelas Wira buat kali keempat. Kemenangan ini juga menebus kegagalannya di pusingan sebelum ini. Walaupun begitu, kemenangan tersebut tidaklah semudah yang disangka berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan semangat juang para pelumba lain yang kini sudah semakin berpengalaman.
Perlumbaan kelas ini terpaksa dihentikan akibat hujan lebat yang melanda Teluk Intan. Selepas hampir satu setengah jam tergendala, persaingan akhirnya disambung selepas pegawai
perlumbaan mengesahkan keadaan litar selamat digunakan.
Apa pun, Zaki menamatkan perlumbaan tersebut dengan catatan masa 8:01.922s, meninggalkan pencabarnya, Md Aliff Danial di kedudukan kedua dengan perbezaan 0.178s. Tempat ketiga menjadi milik Md Adam Haikal Jahar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing. Kejayaan ini juga membuka jaraknya sejauh 15 mata di hadapan Md Aliff Danial yang berada di tangga kedua keseluruhan dengan 95 mata.
Cabaran Yamaha PETRONAS Super Series
Pelumba dari Kuala Lumpur, Md Harith Rosmaza ternyata semakin selesa dan berkeyakinan tinggi apabila menjuarai saingan pusingan keenam dengan mempamerkan tunggangan yang cukup berani. Harith yang diasak cukup hebat oleh Aqil Danial dan Danish Afandi sejak di awal perlumbaan cukup tenang untuk menghabiskan lapan lap penuh debaran sebagai pemenang dengan catatan masa 8:19.383s.
Seperti di Terengganu tempohari, Aqil sekali lagi di tempat kedua diikuti Danish, ketiga. Selepas enam pusingan berlalu, Harith kekal di tangga teratas dengan 108 mata diikuti Aqil kedua (88 mata) dan Danish ketiga (84 mata).
Cabaran Honda Dash 125
Bermula di petak pertama kadangkalanya adalah 'tiket' awal untuk para pelumba mencari peluang kemenangan. Itulah yang berjaya dilakukan oleh Md Farid Hakimi, pelumba dari Selangor bagi menewaskan Farish Iqmal untuk menang buat kali keenam berturut-turut dengan kutipan mata tertinggi 150 mata.
Kesungguhan Farish wajar dipuji kerana mampu mengekori pelumba di depannya hampir di setiap lap. Dengan penambahan 20 mata lagi, Danish kini berada di tangga ketiga dengan 70 mata, hanya empat mata lagi di belakang Ahmad Syamil yang menduduki tangga kedua keseluruhan.
Cabaran Yamaha NVX
Md Ashraffi berjaya kembali ke podium tertinggi selepas tiga pusingan gagal melakukannya. Kali terakhir pelumba dari Johor ini meraih kemenangan ialah pada pusingan kedua yang berlangsung di Batu Kawan pada April lalu. Selain Ashraffi, perlumbaan kategori ini berjaya mengenengahkan tiga lagi pelumba yang cukup menyerlah iaitu Adib Kharith, Hazim Rosmaza dan Danish Fitra.
Jika melihat kepada statistik keputusan sejak di awal saingan, keempat-empat pelumba ini mampu untuk menjadi juara keseluruhan. Dengan berbaki empat pusingan sahaja lagi, kedudukan Ashraffi agak kukuh dengan 115 mata manakala tiga lagi pencabarnya masih di bawah 100 mata.
Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Kangar, Perlis pada 5-6 Oktober diikuti Kota Bharu, Kelantan pada 18-19 Oktober 2019. RR
Popular