MotoGP Le Mans, Perancis: Bezzecchi Pemenang GP ke-1000
Persaingan MotoGP tiba di litar Le Mans untuk merayakan penganjuran GP ke-1000 yang penuh bersejarah. Jumlah penonton untuk pusingan kali ini juga merupakan rekod terbaru litar Le Mans dengan kehadiran seramai 278,805 orang.
Apa pun, perlumbaan pusingan kelima telah berlangsung dengan penuh drama dan perlanggaran sebelum para pemenang dapat berdiri megah di atas podium masing-masing. Tiga petak hadapan menjadi milik Francesco Bagnaia (Pecco), Marc Marquez dan Luca Marini manakala baru kedua dibarisi oleh Jack Miller, Jorge Martin dan Maverick Vinales.
Marquez melakukan 'holeshot' untuk berada di depan sekali diikuti rapat oleh Jack Miller, Marini dan Pecco. Di belakang, Vinales yang mempunyai rentak yang dikehendakinya dan mula membuat serangan. Nasib pelumba dari Sepanyol itu kurang baik apabila berlakunya pelanggaran antara dia dan Pecco yang menyebabkan kedua-duanya bersara lebih awal.
Tidak lama kemudian, satu lagi kemalangan berlaku kali ini di antara Luca Marini dan Alex Marquez. Ya...mereka juga terpaksa melupakan hasrat untuk meraih mata. Jack Miller diberi tentangan hebat oleh Bezzecchi yang mendapat ruang untuk memintas beberapa orang pelumba biar pun bermula di petak ketujuh
Lama kelamaan, rentak Binder dan Miller makin perlahan menyebabkan kedua-duanya mula dipintas oleh para pelumba lain dan semakin ketinggalan ke belakang. Kini tinggal empat orang pelumba sahaja iaitu Bezzecchi, M. Marquez, Martin dan Johann Zarco membentuk kelompok utama.
M. Marquez cuba memberi tekanan Martin memandanganya rentak di antara kedua-dua pelumba ini hampir sama hebat. Ketika siangan berbaki dua lap sahaja lagi, M. Marquez cuba memintas tetapi jenteranya hilang cengkaman lalu terbabas keluar litar dan tidak mampu kembali untuk menyambung perlumbaan. Martin ternyata lega dan berpuas hati apabila tidak ada lagi 'musuh' yang perlu ditentang.
Marco Bezzecchi melintasi garisan penamat juara Le Mans sebagai pemenang GP ke-1000. Tempat kedua menjadi milik Jorge Martin diikuti Johann Zarco di tempat ketiga. Tahniah buat Augusto Fernandez yang meriah keputusan cukup cemerlang di tempat keempat manakala Aleix Espargaro terus bertahan kali ini di tempat kelima.
Pecco masih berada di tangga teratas dengan 94 mata, hanya satu mata di depan Bezzecchi (93 mata). Brad Binder kini 81 mata untuk berada di tangga ketiga, Jorge Martin keempat (80 mata) manakala Johann Zarco di tangga kelima keseluruhan dengan 66 mata. RR
Popular