GIVI Rimba Raid Taman Negara 2022 - Cabaran Offroad Tiada Halangan Usia Atau Jantina, Mental & Stamina Wajib Stabil
Tahun 2015 adalah detik mulanya acara Rimba Raid (RR) yang ketika itu ianya bagaikan cabaran 'offroad' ala sukan kampung. Kali pertama ia dianjurkan bertempat di Kampung Mat Daling, Kuala Tahan Pahang oleh empat orang sahabat yang cukup menyintai dunia permotoran di Malaysia.
Setelah beberapa acara RR di Taman Negara Kuala Tahan telah meraih kejayaan, beberapa peserta dari luar negara turut serta dalam acara tersebut. Pada tahun 2019, RR yang kelima bertukar arah ke Janda Baik, Pahang. Berikutan dengan ujian dan ancaman pandemik Covid-19 yang melanda dunia, selama dua tahun tiada sebarang aktiviti sukan permotoran dapat dijalankan di seluruh dunia.
Setelah kita rehat terlalu lama, pihak penganjur RR telah mengumumkan bahawa Rimba Raid 2022 kembali untuk 'versi' kali ke-6. Untuk acara kali ini, ia berlangsung di Taman Negara, daerah Kuala Tahan, Pahang. Pengeluar aksesori motosikal GIVI telah menjadi penaja rasmi acara GIVI RIMBA RAID 2022 buat kali yang ketiga. Tarikh keramat yang dinanti-nantikan oleh para bikers sukan lasak dari dalam negara dan luar negara kemudiannya telah ditetapkan pada 23 hingga 25 September 2022.
Pada tarikh seawal 22 September lagi, beberapa peserta dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia telah sampai lebih awal. Mereka mengambil peluang ini untuk singgah di beberapa negeri yang menarik sebelum menuju ke Taman Negara. Ada juga beberapa orang peserta 'ride' terus tapak acara untuk melakukan persiapan jentera masing-masing sebelum hari pendaftaran.
Tanggal 23 September 2022, semua peserta telah sampai untuk sesi pendaftaran. Seramai 241 orang pelumba yang hadir dari 14 negara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Jepun, Indonesia, Kanada, Colombia, Australia, Poland, USA, Italy, United Kingdom dan Netherland.
Selepas pemeriksaan motosikal, krew RR, para marshall, pihak medik dan media 'dikumpulkan' di dewan untuk taklimat perlumbaan. Taklimat di sampaikan oleh Pengarah Urusan Rimba Adventure Sdn Bhd, Dato' Captain Nik Huzlan. Selesai taklimat, para peserta ke majlis jamuan makan malam dan seterusnya peserta diminta membawa motosikal untuk pemasangan transponder.
Pada 24 September 2022
Semua peserta telah bersiap sedia berkumpul untuk bergerak ke garisan permulaan. YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar telah menyempurnakan majlis perlepasan 241 peserta dengan penuh semangat dan keterujaan. Laluan sejauh 148km yang mencabar sememangnya menguji mental dan stamina peserta. Usia dan jantina bukan halangan buat mereka yang benar-benar menyukai perlumbaan offroad. Tumpuan mental dan setiap pancaindera perlu berada di tahap tertinggi agar setiap halangan dapat diatasi.
Pelbagai jenis laluan terpaksa ditempuhi. Banyak peserta gagal merentasi laluan mendaki di Bukit Taubat yang benar-benar mencabar untuk diri dan mesin. Ramai yang terpaksa membuat pusingan 'U' untuk mencari laluan lain keluar dari hutan yang mampu melemahkan semangat. Turut kelihatan beberapa peserta terpaksa meninggalkan motosikal masing-masing.
Ada jentera telah mengalami kerosakan dan ada juga peserta yang kecundang, terpaksa mengalah selepas gagal meneruskan cabaran walaupun berusaha sedaya upaya sejak pagi sampai ke malam. Para peserta ini mendapat bantuan dari team rescue bagi mengeluarkan motosikal mereka masing-masing yang ditinggalkan di dalam hutan.
Demi mencari pelumba yang benar-benar mampu memberi cabaran, Thailand terlebih dahulu telah menganjurkan acara Rimba Raid Thailand Qualifying. Tidak hairanlah apabila perlumbaan kali ini didominasi oleh para peserta dari Thailand yang lebih banyak mengaut hadiah.
Peserta paling muda ialah Arunsawat Samanukon berasal dari daerah Samut Prakan, Thailand yang baru berusia 17 tahun. Arunsawat mula berjinak-jinak dalam sukan permotoran lasak sejak berumur 10 tahun dan sejak empat tahun yang lalu, dia mula berlumba dalam beberapa acara offroad di Thailand. Ini adalah kali pertama buat Arunsawat menyertai cabaran lasak GIVI RR2022 dengan menunggang sebuah Yamaha Super Tenere 700 DP dalam Kategori B. Pelumba Thailand ini selamat sampai di garisan penamat dengan catatan masa 4:12:12:189.
Seorang peserta wanita dari Jepun iaitu Kumi Hataenaka Suzuki turut memeriahkan lagi acara ini. Pelumba yang berasal dari daerah Chiba, Jepun itu juga pernah memasuki perlumbaan Desert 100 di Washington, USA. Untuk saingan di Kuala Tahan, dia menunggang Husqvarna dengan enjin 700cc, silinder tunggal dalam Kategori B.
Menurut Kumi, laluan sepanjang 148 kilometer itu amat mencabar. Dia dan beberapa peserta dari Singapura mencari jalan keluar serta laluan di waktu gelap. Mereka berjaya menemui laluan yang dicari tetapi hari sudah lewat malam. Seorang lagi peserta wanita turut mewarnai siri perlumbaan lasak kali ini. Pelumba itu ialah Nor Shamira Azhar yang merupakan anak kepada seorang peminat/pelumba offroad. Selain Shamira, tiga orang adik lelakinya juga merupakan pelumba offroad. Seperti peribahasa melayu, “Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.” Nor Shamira menunggang KTM 250 EXC-TPI dalam kategori C Enduro dan berupaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 4:17:11.741s. Tahniah buat para pemenang!
25 September 2022: Selesai siap sarapan pagi, peserta semua menuju ke podium bagi menyempurnakan acara penyampaian hadiah. Seperti yang dikatakan sebelum ini, kebanyakan hadiah telah 'dikaut' oleh para peserta dari Thailand. Selesai acara penyampaian hadiah kesemua peserta dan yang terlibat dalam GIVI RIMBA RAID 2022 bersurai.
Usai majlis penyampaian hadiah, pihak penganjur bersama 'Team Rescue' yang masih bertugas mencari dan menyelamatkan motosikal-motosikal yang ditinggalkan di dalam hutan. Ribuan terima kasih kepada semua penaja dan penyokong yang terlibat dalam program GIVI Rimba Raid 2022. Semoga diberi umur yang panjang untuk kita jumpa lagi di RR 2023 nanti. RR
- Nz York
Popular