Dovi Kekang Kemaraan Marquez
Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso mengekalkan rekod kemenangan 100% jentera Ducati di litar Red Bull Ring, Austria dengan kejayaan luar biasa menewaskan Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda di selekoh akhir pada awal Ogos yang lalu. Turut menarik perhatian dunia sekali lagi ialah persembahan yang cukup bertenaga oleh pelumba pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Fabio Quartararo yang meraih podium di tempat ketiga.
Dari petak pertama, Marquez meluru ke hadapan dengan pantas untuk mendapatkan posisi terbaik tetapi Dovizioso juga turut mempunyai rancangan yang sama. Kedua-duanya bersentuhan di laluan lurus ketika jentera dalam kelajuan 300km/j dan ketika cuba masuk ke selekoh ketiga, Marquez membrek sangat lambat menyebabkan dia melebar. Dovizioso terpaksa mengemaskan tunggangan agar tidak berlaku perlanggaran.
Kesilapan kedua-dua pelumba tersebut membuka ruang buat pelumba Fabio Quartararo meloloskan diri untuk memimpin perlumbaan diikuti Jack Miller dan jaguh Suzuki, Alex Rins. Nasib menyebelahi Marquez dan Dovizioso untuk kembali membuat serangan. Tidak lama kemudian, keduadua musuh ketat ini berjaya memintas beberapa pelumba untuk berada di tempat kedua dan ketiga.
Ternyata enjin Yamaha tidak mampu menandingi kepantasan jentera Honda dan Ducati yang jelas dapat memintas dengan mudah di laluan lurus. Walaupun Quartararo cuba untuk memberi serangan balas, segalanya tidak mendatangkan hasil kerana dia tetap tewas bila sampai di laluan lurus. Apa yang boleh dia lakukan ialah dengan mengekalkan kedudukan agar Rossi yang mula mendapat rentak berjaya menduduki tempat keempat walaupun bermula di petak ke-10.
Marquez cuba untuk melarikan diri tetapi jaraknya dengan Dovizioso tidak melebihi 0.4 saat. Apa pun, dia masih berupaya memimpin perlumbaan dari lap ke-8 hingga lap ke-18. Bermula lap ke-19, Dovizioso mula menyerang dan menggunakan pengalamannya untuk memintas. Ya! Dia berjaya dan mengekalkan momentum selama enam lap sebelum dipintas semula oleh Marquez.
Masuk lap terakhir, Dovizioso kelihatan agak tertekan lalu melakukan beberapa cubaan untuk memintas tetapi gagal dan menjelang saatsaat akhir, satu-satunya peluang yang masih tinggal ialah di selekoh terakhir. Dia perlu dapatkan selekoh tersebut walaupun cukup sukar dan berisiko tinggi. Tanpa diduga. Dovizioso menyerang dari dalam dan mengawal jenteranya dengan cemerlang agar tidak melebar. Ia adalah satu aksi yang luar biasa dan merisaukan jutaan pencinta MotoGP kerana jika salah langkah, kedua-dua pelumba tersebut boleh terbabas.
Tiada apa lagi yang mampu Marquez lakukan selain menyerah kalah sekurang-kurangnya untuk pusingan ini. Dovizioso berjaya mendapatkan 25 mata penting agar terus memiliki harapan dalam kejuaraan musim ini. Dia kini berada di tangga kedua dengan 172 mata manakala Marquez masih unggul di tangga tertinggi dengan 230 mata.
“Saya amat gembira pada hari ini kerana ia adalah satu kemenangan yang sangat penting. Di penghujung perlumbaan, saya dapat rasakan cengkaman pada bahagian kanan tayar saya sangat baik dan itulah sebab utama yang membolehkan serangan di selekoh akhir berlaku. Strategi awal saya ialah untuk menunggang dengan agresif sejak di awal persaingan tetapi tanpa diduga, Marquez lebih agresif. Saya terus bertahan dan merasakan cengkaman tayar saya lebih baik berbanding Marquez yang membolehkan saya mampu mengekorinya hingga ke lap akhir,” kata Dovizioso
.
Quartararo sekali lagi menaiki podium selepas berjaya meninggalklan Rossi dan Vinales yang juga pelumba Yamaha di belakang untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. “Kami tidak menjangka sama sekali dapat posisi podium di litar ini. Selepas Marquez dan Dovizioso membuat kesilapan, saya berupaya untuk ke hadapan tetapi ia memang cukup sukar. Apa pun, kami dapat banyak pengalaman di sini dan saya berharap dapat memberi mereka saingan untuk muncul juara,” komen Quartararo.
Moto2
Tahniah buat Brad Binder yang berjaya mengangkat namanya dalam saingan Moto2 selepas muncul juara buat kali pertamanya musim ini di dalam satu saingan yang cukup mendebarkan. Dominasi Binder dalam perlumbaan tersebut sukar dicabar oleh para pelumba lain termasuklah pelumba sensasi Alex Marquez dari awal hingga akhir. Lebih istimewa, kejayaan yang dinikmati oleh Binder ini berlaku pada harijadinya.
“Ia adalah saat yang mengagumkan kerana rentak kami sangat baik sejak dari awal lagi. Saya tidak tahu sama ada mampu untuk menang di sini tetapi saya harus memberikan yang terbaik buat pasukan. Untuk tamatkan 'tugas' dengan cemerlang di hadapan puluhan ribu penonton kakitangan Red Bull di litar mereka memang sempurna. Saya tidak pernah melihat begitu banyak 'warna oren' seperti di sini dan terima kasih buat pasukan di atas kerja keras selama ini,” kata Brad Binder yang ternyata cukup gembira.
Walaupun menamatkan saingannya di tempat kedua, Marquez berjaya menambah 20 lagi mata ke dalam koleksinya untuk terus mendahului kejuaraan 2019 dengan 181 mata. Tangga kedua diisi oleh Thomas Luthi dengan 138 mata diikuti oleh Jorge Navarro di tangga ketiga dengan 126 mata.
Moto3
Tahniah buat John McPhee dari pasukan PETRONAS Sprinta Racing atas kejayaan podium keduanya musim ini selepas menamatkan saingan di tempat ketiga. Selepas beberapa pelumba telah dikenakan penalti di sesi ujian masa, McPhee mendapat peluang bermula di petak pertama. Pelumba Itali, Romano Fenati terlebih dahulu membuat serangan dan tidak lama kemudian diikuti oleh Tony Arbolino.
Fenati terus unggul untuk menjuarai litar Red Bull Ring tetapi pujian buat McPhee yang tidak menyerah kalah walaupun mulanya sedikit ketinggalan. Pada lap ke14, dia berjaya memintas dan berada di tempat kedua selama empat lap sebelum ditewaskan semula oleh Arbolino untuk melintasi garisan penamat di tempat kedua.
Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Silverstone, Great Britain pada 25 Ogos diikuti Misano, San Marino pada 15 September 2019. RR
Popular