Yamaha Asean Cup 2013 (Indonesia) Izzat & Adib Kibarkan Jalur Gemilang
Litar Antarabangsa Sentul tahun ini menjadi destinasi terbaik buat Yamaha untuk menyambut ulang tahun ke-10 perlumbaan tersohor Yamaha Asean Cup. Perlumbaan kali ini disertai oleh enam buah negara iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, India dan Jepun. Persaingan tahun ini dijalankan dalam dua kelas baru iaitu Kelas ST yang menggunakan mesin YZF R15 dan Jupiter Z1 digunakan dalam Kelas MT.
Dalam kelas MT pasukan negara dibarisi oleh Abd Muhaimin (Along), Tengku Amirul, Muhd Adib, Ahmad Afif dan Mohd Azam manakala Izzat Zaidi, Mohd Shariffuddin, Muhd Taufiq, Iqbal Amri dan Saiful Izman masing-masing menggalas harapan negara dalam kelas ST. Muhaimin, Tengku Amirul, Adib, Taufiq dan Shariffudin pernah mewakili Malaysia dalam perlumbaan sebelum ini.
"Selain memberikan pendedahan kepada para pelumba muda khususnya, perlumbaan kali ini juga memberi kita peluang untuk mendapatkan kemenangan kerana ia dilangsungkan di litar yang besar. Pelumba kita dirasakan lebih arif dengan litar-litar sebegini. Kesemua mereka dipilih berdasarkan pengalaman, pencapaian, karaktor masing-masing dan paling penting di sini ialah semangat berpasukan," kata En. Michael Chai, Pengurus Pasukan Malaysia.
Perlumbaan ini juga bukan sahaja sekadar menjadi medan perebutan piala tetapi ia juga adalah waktu paling sesuai untuk menambah kenalan, mencari ilmu permotoran baru dan bertemu kembali rakan-rakan seperjuangan. Antara program lain yang diselitkan untuk memeriahkan acara tahunan ini ialah Yamaha Safe Riding Science (YSRS) yang diadakan di sekolah-sekolah, menunggang bersama Jorge Lorenzo di litar, konsert rock kumpulan NOAH dan persembahan aksi motosikal trail.
Kelas MT
Pasukan negara jelas mempunyai peluang keemasan apabila catatan masa di sessi kelayakan tidak jauh bezanya dengan pelumba paling hadapan iaitu Syahrul Amin dari Indonesia. Sebaik sahaja perlumbaan dimulakan pasukan negara terus memecut untuk bersama kelompok paling hadapan yang dipimpin oleh para pelumba tuan rumah.
Belum sampai dua lap, Tengku terlebih dahulu ditimpa masalah menyebabkan dia terpaksa mengalah lebih awal. Malang terus menimpa pasukan negara apabila satu demi satu pelumba negara kembali ke paddock selepas mesin-mesin mengalami masalah teknikal. Dalam perlumbaan pembuka tirai ini, hanya Adib sahaja yang menghabiskan perlumbaan. Pusingan pertama dimenangi oleh Herman Bass dari Indonesia.
Kegagalan di awal pagi ternyata membakar semangat para pelumba untuk membuktikan keupayaan masing-masing dalam perlumbaan kedua. Along terlebih dahulu tiba di selekoh pertama, memimpin perlumbaan dengan kemas sekali. Sedikit demi sedikit, pasukan negara Afif, Azam, Adib dan Tengku berjaya berada di belakang Along untuk menahan kemaraan pelumba lain.
Para pelumba Indonesia dan Thailand cuba memintas dan berlakunya sentuhan antara motosikal menyebabkan Afif yang telah mengambil posisi Along di depan terbabas dalam lap kedua. Kelompok hadapan kini lebih sengit kerana masing-masing boleh menjadi juara.
Posisi pendahulu antara Galang, Richard, Along, Adib, Louisboongpeng dan Peerapong Boonlert sering berubah setiap detik. Tinggal dua lap sebelum tamat, Along sekali lagi membuka laluan untuk Adib dan Azam berada di depan. Azam cuba meninggalkan kelompok ini tetapi ia bukan mudah kerana pelumba lain semakin berani membuat serangan.
Melihat Azam terbabas, Adib dan Along terus mengekalkan momentum untuk berada di hadapan. Adib akhirnya berjaya menjadi juara perlumbaan kedua diikuti rapat oleh Galang dan Richard dengan perbezaan masa hanya 0.0143 saat. Kali terakhir pasukan negara berada di puncak podium ialah pada edisi ke-6 di Thailand menerusi Hafizh Syahrin yang ketika itu mengungguli kelas Novice.
"Saya bersyukur dan cukup gembira dengan kemenangan ini. Segala apa yang dirancang bersama kumpulan dapat kami laksanakan demi nama negara. Kemenangan ini telah menebus kekecewaan kami pada perlumbaan pertama dan terima kasih kepada seluruh pasukan," komen Adib.
Walaupun gagal ke podium, dua lagi pelumba negara iaitu Abd Muhaimin dan Tengku Amirul turut diberi pujian oleh seluruh pasukan atas usaha mereka mengekang para pencabar dengan kemas sepanjang perlumbaan. Kedua-dua pelumba negara itu menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat ketujuh dan kelapan.
Kelas ST
Ini merupakan julung kalinya mesin YZF R15 digunakan dalam perlumbaan Asean Cup dan sudah tentu peluang setiap negara sekitar 50/50 untuk mencapai kemenangan. Perlumbaan pertama bermula dengan kemas tetapi litar Sentul sepanjang 3.964km ini sememangnya cukup teknikal terutama bagi pelumba baru. Pelumba Thailand, Prawat Yannawut (memenangi pusingan 1) dan Ketut Madiasta jelas cukup pantas, meninggalkan para pencabar lain hampir dua saat di belakang.
Pertarungan antara Sirichai (Thailand), Taiga Haga (Jepun), Shariffudin dan Izzat sebenarnya lebih seronok ditonton. Gaya dan kepantasan keempat-empat pelumba ini menunjukkan betapa pantasnya mereka dapat menyesuaikan diri dengan mesin dan litar.
Para pelumba negara ternyata lebih yakin dan bersemangat dalam perlumbaan kedua - ditambah pula dengan kejayaan Adib pada perlumbaan sebelumnya. Shariffudin terlebih dahulu memberi cabaran kepada para pelumba hadapan dan tidak lama selepas itu, Izzat pula merapatkan diri.
Sharifuddin tidak mampu menahan tekanan yang diberikan lalu sekadar mengekalkan kedudukan agar tidak terlalu jauh di belakang manakala Izzat semakin lama, semakin hampir ke hadapan. Beberapa lap sebelum tamat hanya tinggal Izzat dan Prawat mengepalai perlumbaan. Walaupun Izzat berjaya memintas, Prawat tidak membenarkan pelumba negara itu berada lama di hadapan sebaliknya terus membuat serangan tanpa henti.
Izzat tenang membiarkan Prawat di hadapan dan menunggu hingga ke saat akhir untuk memintas. Paddock pasukan negara gamat dengan jeritan dan sorakan sebaik sahaja Izzat menerima bendera penamat sebagai juara kelas ST perlumbaan kedua.
"Saya yakin apabila dapat mengekori Prawat malah berjaya memintasnya. Apabila dia cuba memberi tentangan, saya bersabar tetapi tidak melepaskannya melarikan diri hinggalah tiba di saat-saat akhir. Saya tidak menyangka dapat memintas dan menjuarai perlumbaan kedua," kata Izzat.
"Walaupun amat yakin dengan persembahan para pelumba, semangat juang sepasukan adalah kunci kejayaan kali ini. Sudah tentu kami semua berpuas hati dan kepada para pelumba muda, inilah saat penting buat mereka menimba seberapa banyak pengalaman yang boleh," tambah En. Michael.
Untuk perlumbaan edisi Yamaha Asean Cup ke-10 ini, juara keseluruhan dimenangi oleh pasukan Indonesia (188 mata) untuk kedua-dua kelas MT dan ST. Tempat kedua diduduki oleh pasukan dari Thailand (177 mata) dan tempat ketiga disandang oleh pasukan dari Malaysia (116 mata). RR
Popular