Hafizh Syahrin kekal bersama MIE Racing Honda Team untuk musim 2023!
MIE Racing Honda Team telah mengesahkan bahawa pelumba negara, Hafizh Syahrin bakal melengkapkan barisan pasukan mereka untuk musim 2023. MIE Racing Honda Team dengan sukacitanya mengesahkan bahawa ia telah melanjutkan perjanjian dengan pelumba Malaysia itu Hafizh. Berita baik ini dikongsikan selepas kejayaan menandatangani kontrak pelumba dari Brazil iaitu Eric Granado.
Musim 2022 menyaksikan penampilan sulung Hafizh bersama pasukan itu dalam kategori WorldSBK. Pelumba berusia 28 tahun itu menamatkan saingan musim lalu dengan kejayaan meraih pungutan mata di empat pusingan. Ini membuktikan kemampuan Hafizh dari segi prestasi dan tahap konsistensi.
MIE Racing Honda Team dengan itu melengkapkan barisan mereka untuk musim Kejuaraan Dunia Superbike 2023 menerusi dua pelumba berbakat untuk beraksi di saingan musim baru yang bakal berlangsung di Australia pada 24-26 Februari 2023 nanti.
“Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan lanjutan kontrak dengan Hafizh selepas penampilan sulung bersama kami dalam World Superbike musim 2022. Keupayaannya ternyata telah berkembang dengan mantap sepanjang musim,” kata pemilik pasukan Midori Moriwaki.
“Saya fikir dia dan Eric (Granado) akan membentuk gandingan yang kuat dan berdaya saing yang akan membantu dalam pembangunan projek kami bersama Honda dalam mempromosikan Kejuaraan WorldSBK dan dunia dua roda di Amerika Selatan dan Asia. Kedua-dua destinasi ini sangat strategik untuk sukan lumba motor,” tambah Midori.
"Saya sangat gembira untuk kekal bersama Pasukan Honda MIE Racing pada saingan musim depan. Saya tahu bahawa Midori (Moriwaki) sedang menyusun pakej yang lebih kukuh untuk 2023 manakala saya juga akan fokus untuk memberikan segalanya yang saya mampu. Berdasarkan pengalaman yang diperolehi pada tahun lalu, saya menyasarkan untuk menamatkan saingan di setiap perlumbaan. Sasaran utama saya adalah untuk menjadi lebih berdaya saing dan saya bersedia bekerja keras untuk mencapainya," kata Hafizh Syahrin. RR
Popular